ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim menutup kempen Liga Super 2025/26 dengan penuh bergaya apabila membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Anak buah Xisco Munoz tampil garang sejak wisel permulaan apabila hanya memerlukan 47 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang sensasi Brazil, Bergson da Silva hasil hantaran Jonathan Silva.
Bergson kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-11 menerusi rembatan jarak jauh sebelum Manuel Hidalgo menjadikan kedudukan 3-0 beberapa minit kemudian.
Pesta gol Harimau Selatan terus bersambung apabila Antonio Glauder meledak gol keempat menerusi tandukan pada minit ke-18 sebelum Hidalgo menambah gol kelima menerusi penyudah lambung yang menewaskan penjaga gol Kelantan TRW, Azfar Arif.
Bergson melengkapkan hatrik pada minit ke-35 selepas sekali lagi memperdayakan benteng pelawat sebelum Jese Wilkin menjaringkan gol ketujuh hasil gerakan menarik bersama Corbin Ong.
Sebelum babak pertama tamat, Bergson meledak gol keempat peribadi selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan, Wan Amirul Afiq untuk meletakkan JDT selesa mendahului 8-0.
Bersambung babak kedua, Yago Cesar menambah derita Kelantan TRW dengan jaringan kesembilan pada minit ke-51 sebelum Bergson melengkapkan lima gol peribadi dua minit kemudian.
Hidalgo turut mencatat hatrik apabila meledak gol ke-11 JDT hasil hantaran Stuart Wilkin.
Kelantan TRW akhirnya memperoleh gol sagu hati menerusi tandukan Faris Izdiham pada minit ke-64 hasil sepakan penjuru.
Namun, JDT terus mengganas apabila Bergson menjaringkan gol keenam peribadi pada minit ke-83 sebelum pemain gantian, Syamer Kutty Abba dan Teto melengkapkan kemenangan luar biasa Harimau Selatan.
Keputusan itu menyaksikan JDT mencipta kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super Malaysia selain mengukuhkan status mereka sebagai kuasa dominan bola sepak tanah air. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JDT