BURIRAM – Pelumba berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah melengkapkan hujung minggu sempurna apabila menjuarai Perlumbaan 2 kategori ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram hari ini.
Mewakili JDT Racing Team, Hafizh sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila menampilkan tunggangan dominan menggunakan jentera Ducati Panigale V4R untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut hujung minggu ini.
Bekas pelumba MotoGP negara itu melengkapkan 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 24 minit 01.995 saat selain merekodkan masa terpantas perlumbaan 1:35.679 saat.
Kemenangan tersebut turut menjadi respons terbaik Hafizh selepas dikenakan denda AS$500 (RM2,150) susulan sambutan selepas perlumbaan pada Perlumbaan 1 semalam.
Pelumba Jepun, Keito Abe dari pasukan SDG HARC-PRO Honda Philippines menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 2.748 saat, manakala pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat melengkapkan podium buat Honda Racing Thailand.
Turut mencuri perhatian ialah rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam sekali gus mengukuhkan prestasi cemerlang JDT Racing Team sepanjang minggu ini.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas hanya melengkapkan tujuh pusingan meskipun sempat mencatat masa terpantas 1:35.644 saat sebelum itu.
Seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Zaqhwan Zaidi pula menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 selepas kehilangan banyak masa ketika perlumbaan berlangsung.
Kejayaan meraih dua kemenangan daripada dua perlumbaan di Buriram mengukuhkan lagi reputasi Hafizh sebagai antara pelumba superbike terbaik Asia Tenggara selain meningkatkan momentumnya dalam perebutan kejuaraan ASB1000 musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC