LE MANS – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus mencuri perhatian apabila sekali lagi meraih mata kejuaraan pada saingan Grand Prix (GP) Perancis 2026 di Litar Bugatti, Le Mans sebentar tadi.
Mewakili pasukan AEONCredit – MT Helmets – MSi, Hakim menamatkan perlumbaan Moto3 di kedudukan ke-10 sekali gus menghadiahkan enam mata berharga buat kempen sulungnya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.
Pelumba negara itu memulakan perlumbaan dari petak ke-12 selepas mempamerkan aksi cemerlang pada sesi kelayakan apabila berjaya mara terus ke Q2 sebelum mengesahkan kedudukan di barisan keempat.
Namun, perlumbaan berlangsung dalam keadaan sukar apabila hujan lebat memaksa pihak penganjur memendekkan perlumbaan daripada 20 kepada 13 pusingan dengan semua pelumba menggunakan tayar basah.
Hakim bagaimanapun memulakan perlumbaan dengan tenang dan berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan meskipun berdepan permukaan litar yang licin.
Pelumba muda negara itu turut dilihat cukup yakin mengharungi keadaan basah selain konsisten bersaing dalam kelompok 10 terbaik sepanjang perlumbaan berlangsung.
Selepas mengharungi aksi mencabar itu, Hakim melintasi garisan penamat di tempat ke-10 dengan catatan 21.847 saat di belakang pemenang perlumbaan.
Keputusan tersebut membolehkan Hakim mengumpul keseluruhan 18 mata selepas lima pusingan dalam musim debut Moto3.
Perlumbaan dimenangi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team yang mencatat masa 24 minit 41.640 saat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing