KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mempersoalkan pihak yang meluluskan pemindahan tanah kolam takungan banjir di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan kapasiti kemudahan mitigasi itu didakwa menyusut kira-kira 70 peratus sejak tahun 2015.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia bukan lagi isu pembangunan biasa, sebaliknya membabitkan persoalan integriti pentadbiran awam, ketelusan proses kelulusan tanah serta kemungkinan berlaku salah guna kuasa.
Menurut beliau, kolam takungan banjir merupakan infrastruktur keselamatan awam yang diwujudkan bagi melindungi nyawa, rumah dan kestabilan sistem saliran bandar, bukannya tanah komersial yang boleh dikompromi demi pembangunan jangka pendek.
“Rakyat berhak mengetahui siapa yang meluluskan pemindahan tanah tersebut, apakah justifikasi teknikal yang digunakan serta sama ada terdapat bantahan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pakar teknikal.
“Selain itu, rakyat juga mahu tahu sama ada semua kelulusan dibuat mengikut prosedur serta mengambil kira kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan memaklumkan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur berkurangan sehingga kira-kira 70 peratus selepas sebahagian tanah dipindahkan kepada pemaju sejak 2015.
Mengulas lanjut, Jais berkata, sekiranya benar sebanyak 17 lot tanah telah dipindahkan kepada pihak pemaju sehingga menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir, perkara itu perlu disiasat secara menyeluruh.
Katanya, siasatan perlu menentukan sama ada wujud unsur konflik kepentingan, campur tangan berkepentingan, pelanggaran prosedur teknikal, kecuaian pentadbiran atau penyalahgunaan kuasa dalam proses kelulusan.
“SPRM dan agensi penguat kuasa berkaitan wajar meneliti keseluruhan proses pemindahan tanah ini sekiranya terdapat asas munasabah melibatkan manfaat luar biasa kepada pihak tertentu atau keputusan yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan awam.
“MCW juga menggesa satu audit bebas dan telus dilakukan terhadap semua kawasan mitigasi banjir di Kuala Lumpur bagi memastikan tiada lagi pembangunan yang mengorbankan fungsi infrastruktur keselamatan rakyat atas nama kemajuan bandar,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Hannah Yeoh