PETALING JAYA – Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan pembidaan bagi penganjuran Asia-Pacific Deaf Multi-Sport Championships 2026 yang dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 3 hingga 10 Oktober tahun depan.
Kelulusan itu diberikan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan inklusif serta memperluaskan penglibatan atlet pekak di pentas antarabangsa.
Presiden Malaysian Deaf Sports Association (MSDeaf), Ong Shin Ruen berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan atas sokongan terhadap pembidaan kejohanan berprestij tersebut.
“Kami berterima kasih kepada KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang menerima usaha persatuan. Temasya ini akan meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkasakan pembangunan sukan komuniti pekak di rantau Asia Pasifik.
“MSDeaf komited memastikan segala persiapan penganjuran Asia-Pacific Deaf Multi-Sport Championships 2026 berjalan lancar dan teratur.
“Kami yakin kejohanan ini bukan sahaja memperkasakan pembangunan sukan komuniti pekak, malah mampu memberi impak positif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya. – DETIK MALAYSIA