Pasukan ragbi 15 sepasukan Terengganu kini giat membuat persediaan untuk perlawanan pertama di laman sendiri pada Sabtu ini bertemu Kelantan bagi aksi kedua peringkat kumpulan Piala Agong edisi ke-42 musim ini.
KUALA TERENGGANU – Kemenangan sulung di tempat lawan minggu lalu tidak memberi ruang selesa buat Terengganu apabila kembali mengharungi aksi kedua peringkat kumpulan Piala Agong menentang Kelantan di laman sendiri, Sabtu ini.
Aksi yang dijadual berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu itu dijangka sengit, lebih-lebih lagi dengan reputasi cemerlang skuad pelawat.
Kelantan hadir dengan moral tinggi selepas mencipta kejutan menewaskan juara bertahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 26-24 dalam perlawanan pembukaan musim lalu kemenangan yang melonjakkan status mereka sebagai pencabar utama.
Situasi itu memaksa ketua jurulatih Terengganu, Hafiizh Zainal, memperkemaskan persiapan pasukan menjelang aksi sulung di laman sendiri musim ini.
Menurutnya, kemenangan tipis minggu lalu jelas memperlihatkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kemenangan itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana kita melakukan beberapa kesilapan mudah yang hampir mengundang padah.
“Masalah komunikasi antara pemain juga ketara ketika itu, namun aspek tersebut telah diberi perhatian dalam latihan menjelang perlawanan ini,” katanya.
Tambah Hafiizh, tekanan selaku tuan rumah kini semakin dirasai, terutama selepas kejayaan Kelantan menumbangkan juara bertahan.
“Kelantan datang dengan reputasi besar selepas menewaskan PDRM, tetapi sasaran kami tetap jelas — mahu memastikan kemenangan di laman sendiri,” ujarnya.
Selepas satu perlawanan, Terengganu dan Kelantan masing-masing mengutip tiga mata untuk berkongsi kedudukan teratas Kumpulan B, diikuti Wilayah Kuala Lumpur di tangga ketiga manakala PDRM menghuni kedudukan tercorot.
Dalam perkembangan Kumpulan A, Johor dan Negeri Sembilan turut berkongsi tiga mata di puncak carta, diikuti ATM, Kedah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. – DETIK MALAYSIA