BARCELONA – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul pelumba terpantas pada hari pembukaan Kejuaraan Dunia Moto3 pusingan keenam di Litar Catalunya, Barcelona semalam.
Mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Hakim tampil cukup konsisten sepanjang dua sesi latihan sekali gus memberi amaran awal kepada pencabar lain menjelang perlumbaan hujung minggu ini.
Pelumba negara itu memulakan saingan dengan cukup bergaya apabila mengungguli sesi latihan bebas pertama (FP1) menerusi catatan masa terpantas 1 minit 47.478 saat.
Momentum tersebut diteruskan dalam sesi latihan petang apabila Hakim sekali lagi mencatat masa terbaik selepas memperbaiki rekod kepada 1:46.943 saat.
Keputusan itu menyaksikan Hakim menamatkan hari pertama di kedudukan keseluruhan pertama selain mengesahkan tiket automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2) selepas berada dalam kelompok 14 pelumba terbaik.
Aksi konsisten yang dipamerkan pelumba muda Malaysia itu turut membuktikan peningkatan keyakinan dan kematangannya meskipun baru mengharungi musim pertama dalam saingan Moto3 dunia.
Litar Barcelona-Catalunya yang terkenal dengan selekoh teknikal serta cabaran pengurusan tayar nyata tidak menghalang Hakim daripada menampilkan tunggangan agresif dan penuh kawalan.
Prestasi memberangsangkan itu sekali lagi mengukuhkan reputasi Hakim sebagai antara prospek terbaik sukan permotoran negara ketika ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK RACING