ISKANDAR PUTERI – Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi kelab gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT), bakal diabadikan dalam bentuk replika mega menggunakan ribuan blok LEGO di taman tema Legoland Malaysia Resort.
Replika ikonik itu dijadual dilancarkan pada penghujung Jun depan dan akan dipamerkan di zon Miniland sebagai salah satu tarikan terbaharu buat pengunjung.
Pembinaan mercu tanda Johor itu dilihat sebagai penghargaan istimewa kepada penyokong Harimau Selatan selain menggabungkan elemen budaya bola sepak tempatan dengan seni bina kreatif berasaskan LEGO.
Kerjasama strategik antara Legoland Malaysia Resort dan JDT turut memperkenalkan pengalaman bertemakan bola sepak kepada keluarga serta peminat kelab tersebut.
Menerusi kolaborasi itu, pas tahunan edisi khas ‘Southern Tigers’ Legoland akan diperkenalkan bersama pelbagai pengalaman eksklusif khusus untuk penyokong dan penggemar Lego.
Pemegang pas bermusim JDT turut menikmati diskaun 35 peratus bagi tiket 1-Day Triple-Park Legoland selain potongan 15 peratus untuk pembelian makanan dan minuman di taman tema berkenaan.
Dalam masa sama, pemegang pas tahunan Legoland pula akan menerima diskaun 10 peratus bagi pas bermusim JDT serta potongan harga untuk barangan rasmi kelab.
Kerjasama itu dilihat mampu membuka dimensi baharu dalam industri pelancongan sukan dan rekreasi menerusi gabungan dunia bola sepak dan hiburan keluarga. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Legoland Malaysia