PETALING JAYA – Impian Selangor FC untuk menamatkan kemarau trofi antarabangsa sedikit tercalar apabila tewas 0-1 kepada Buriram United dalam aksi final pertama ASEAN Club Championship Shopee Cup di Stadium MBPJ malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan wakil Thailand tersebut membawa bekalan tipis menjelang aksi timbal balik di Buriram pada 27 Mei depan.
Skuad Gergasi Merah tampil dengan misi besar memburu trofi pertama sejak 2015 selain mahu muncul kelab Malaysia pertama menjulang kejuaraan Shopee Cup.
Namun, taktikal kemas jurulatih Buriram, Mark Jackson menerusi formasi 3-5-2 berjaya mengekang ancaman sayap Selangor yang diketuai kapten, Faisal Halim dan Alvin Fortes.
Penyerang sensasi Selangor, Chrigor Moraes turut sukar memperoleh bekalan bola berkualiti apabila dikawal ketat barisan pertahanan pelawat.
Buriram akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-25 menerusi tandukan Suphanat Mueanta hasil hantaran tepat Theerathon Bunmathan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel.
Selangor hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Fortes, namun rembatan deras pemain itu sekadar menggegarkan tiang gol.
Babak kedua menyaksikan pengendali Selangor, Kim Pan-gon melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Mukhairi Ajmal dan Syahir Bashah bagi mengubah rentak permainan.
Peluang terbaik Merah Kuning hadir pada minit ke-64 menerusi pemain tengah Perancis, Hugo Boumous, namun percubaannya sekali lagi dinafikan tiang gol.
Walaupun tewas, Selangor masih memiliki peluang untuk melakar sejarah dengan syarat perlu bangkit menewaskan Buriram dalam aksi final kedua di Thailand minggu depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
⭐️ The Starboy Scores ⚽️#ShopeeCup #ASEANUtdFC pic.twitter.com/bxTEuwqy0z— ASEAN United FC (@aseanutdfc) May 20, 2026