ISKANDAR PUTERI – Bahang bola sepak tanah air bakal mencapai kemuncaknya apabila juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC disahkan akan turun menentang Johor Darul Ta’zim dalam aksi persahabatan antarabangsa berprofil tinggi pada 11 Ogos depan.
Pertembungan bertemakan “Lions vs Southern Tigers” itu dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula pada pukul 8 malam.
Aksi anjuran TEG Sport itu dijangka menjadi antara perlawanan kelab terbesar pernah dianjurkan di Malaysia apabila kelab gergasi England tersebut kembali ke Asia Tenggara selepas kali terakhir hadir ke negara ini pada 2013.
Chelsea hadir ke Johor sebagai juara bertahan Piala Dunia Kelab FIFA selain reputasi gah selaku antara kelab paling berjaya di Eropah dengan koleksi trofi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara UEFA, Liga Europa dan Piala FA.
Perlawanan itu juga bakal menjadi ujian pramusim terakhir skuad The Blues kendalian Xabi Alonso sebelum memulakan kempen musim 2026/27.
Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea, Pete Nuttall berkata, Asia Tenggara sentiasa mempunyai kelompok penyokong yang cukup besar dan bersemangat terhadap Chelsea.
“Perlawanan menentang JDT ini memberi peluang terbaik kepada peminat di rantau ini untuk menyaksikan pasukan secara langsung menjelang musim baharu,” katanya.
Bagi JDT pula, aksi menentang Chelsea dianggap satu lagi pencapaian besar buat kelab itu yang terus mendominasi arena bola sepak tempatan sejak lebih sedekad lalu.
Skuad Harimau Selatan bukan sahaja memenangi 12 gelaran Liga Super berturut-turut, malah turut mencipta reputasi tersendiri di pentas Asia menerusi kemudahan bertaraf dunia dan pembangunan kelab yang konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia menyifatkan kehadiran Chelsea sebagai detik membanggakan bukan sahaja buat kelab, malah untuk bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
“Ini membuktikan reputasi JDT semakin dihormati di peringkat Asia selain memberi peluang kepada dunia melihat sendiri fasiliti dan infrastruktur bola sepak bertaraf antarabangsa yang dimiliki Johor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll turut memuji sokongan pelbagai pihak dalam merealisasikan aksi bersejarah tersebut.
Menurutnya, keghairahan peminat bola sepak Malaysia dijangka menjadikan suasana di Stadium Sultan Ibrahim cukup luar biasa pada malam perlawanan nanti.
Tiket bagi aksi Chelsea menentang JDT dijual bermula RM154 sehingga RM1,254 bagi pakej VIP.
Jualan awal untuk kelab penyokong bermula 21 Mei ini sebelum dibuka kepada umum sehari kemudian.
Pertembungan bersejarah itu dijangka menarik ribuan penyokong dari Malaysia, Singapura, Thailand dan negara jiran lain dalam apa yang boleh dianggap antara malam terbesar bola sepak kelab pernah disaksikan di negara ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TEG Sport
🦁 vs 🐯– Chelsea FC are coming to Malaysia 🇲🇾
🎟️Get your tickets at https://t.co/0jjmBAkmHL
Chelsea FC vs Johor Darul Ta’zim FC
Tuesday, 11 August 2026 | Kick off 8:00PM
Sultan Ibrahim Stadium, Johor
Premier League giants Chelsea FC will face Johor Darul Ta’zim FC in a… pic.twitter.com/SvjsDb9wXQ— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 20, 2026