KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu terus memperkukuh agenda pendidikan bertaraf antarabangsa apabila bakal menganjurkan tiga program besar berteraskan akademik dan pelancongan lestari sepanjang tahun ini.
Inisiatif tersebut dibincangkan menerusi Mesyuarat Khas Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu pada 13 Mei lalu.
Mesyuarat itu melibatkan 37 wakil Pegawai Meja PIBKS seluruh daerah selain pengetua dan guru besar sekolah yang terlibat dengan program berkenaan.
Majlis dipengerusikan oleh Nazli Muda selaku KPP Kanan mewakili Pengarah Pendidikan Terengganu.

Turut hadir ialah Wan Ahmad Samir Wan Mohd Noor selaku Focal Person PIBKS Terengganu, Pengerusi PPIM Terengganu serta pengurusan Homestay Teluk Ketapang.
Antara acara utama yang bakal berlangsung ialah Young IMT GT Islamic Scholar Summit melibatkan pelajar Tingkatan Enam dan mahasiswa pada 2 hingga 6 Ogos depan di Universiti Malaysia Terengganu.
Program tersebut dijangka menghimpunkan 100 pelajar dan mahasiswa dari tiga negara menerusi kerjasama dengan Institut Agama Islam Makassar, Indonesia.
Selain itu, Southeast Asia Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop bagi kategori Elementary dan Junior High School akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin pada 17 hingga 20 Ogos melibatkan kira-kira 450 pegawai, pengetua, guru besar dan pelajar.

Sementara itu, Pacific Asia Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop bagi kategori Senior High School dijadual berlangsung di UMT pada 7 hingga 10 September depan.
Program tersebut bakal menghimpunkan lebih 500 pegawai pendidikan, guru dan pelajar dari lima negara ASEAN serta 10 negara Asia Pasifik.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Pacific Asia Travel Association (PATA) Malaysia Chapter kerana membantu menghulurkan jemputan kepada 15 negara bagi menjayakan program edu-pelancongan itu.
Turut terlibat menjayakan program berkenaan ialah REAL EDU Indonesia, Education Malaysia Global Services (EMGS), Pusat Sains Asasi UniSZA, Pusat Asasi Sains UMT, Politeknik Hulu Terengganu, MPC Terengganu, Tourism Terengganu dan MOTAC Terengganu.
Penganjuran program antarabangsa itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai hab edu-pelancongan serantau bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. – DETIK MALAYSIA