KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan dari Qatar untuk mengadili aksi final Piala Malaysia 2025-2026 membabitkan Johor Darul Ta’zim dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Pengadil utama perlawanan itu ialah Mohammed Ahmed Al Shammari, manakala Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2.
Sementara itu, tugas sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) akan dikendalikan Meshari Ali Alshamari.
Kesemua mereka memiliki status Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain bertaraf Pengadil Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menurut FAM, keempat-empat pegawai berkenaan bukan nama asing di pentas antarabangsa apabila pernah mengendalikan beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia B-17 FIFA dan final Qatar Emir Cup.
“Pelantikan pengadil dari luar negara ini dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu,” menurut kenyataan FAM hari ini.
Untuk rekod, FAM sebelum ini pernah menggunakan khidmat pengadil luar negara pada final Shopee Piala FA 2019 antara Perak FC dan Kedah Darul Aman FC di venue sama.
Ketika itu, tiga pegawai perlawanan dari Jepun diketuai Takuto Okabe telah dipilih untuk mengadili perlawanan tersebut.
FAM turut menegaskan komitmen mereka memastikan setiap aspek penganjuran final Piala Malaysia mencapai standard terbaik sejajar reputasi kejohanan tertua dan paling berprestij dalam bola sepak negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM