PETALING JAYA – Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon berjanji pasukannya akan memberikan aksi terbaik demi menggembirakan para penyokong menjelang aksi final pertama ASEAN Club Championship Shopee Cup menentang Buriram United di Stadium MBPJ malam ini.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, Selangor kini berada dalam suasana cukup positif dan bersedia sepenuhnya untuk mengharungi aksi final yang dianggap antara pentas terbesar bola sepak kelab Asia Tenggara.
“Kami sangat bangga dapat mewakili Selangor dan kelab Malaysia ke final ini. Ia sesuatu yang sangat mengujakan buat kami dan kami tidak sabar untuk perlawanan esok.
“Setakat ini suasana dalam pasukan sangat positif dan persiapan berjalan lancar. Kami bersedia memberikan persembahan terbaik dan berharap dapat menghadiahkan keputusan yang menggembirakan penyokong,” katanya pada sidang media pra-perlawanan semalam.
Walaupun Buriram bakal turun tanpa dua tonggak utama, Guilherme Bissoli dan Goran Causic, Kim menegaskan Selangor tidak akan sesekali memandang rendah keupayaan juara bertahan dari Thailand itu.
Bekas pengendali skuad kebangsaan Malaysia tersebut menyifatkan Buriram sebagai antara kelab paling disegani di rantau Asia Tenggara kerana konsisten bersaing di peringkat tertinggi Asia.
“Kami menghormati Buriram United sebagai kelab yang mewakili Asia Tenggara dalam AFC Champions League Elite. Mereka adalah kelab yang sangat dihormati.
“Pemain mereka kuat secara individu dan juga sangat kuat sebagai satu pasukan. Kami menghormati mereka sepenuhnya, tetapi pada masa sama kami mahu membuktikan kualiti kami sendiri dan mahu menang esok,” jelasnya.
Kim turut menegaskan fokus utama Selangor bukan terhadap ketiadaan pemain lawan, sebaliknya memastikan pasukannya mampu memaksimumkan prestasi serta disiplin taktikal sepanjang perlawanan.
“Mengenai ketiadaan dua pemain utama mereka, saya percaya pemain lain juga sama kuat.
“Saya melihat banyak pemain berkualiti dalam skuad mereka. Jadi kami tidak terlalu fokus kepada perkara itu. Sebaliknya, kami mahu bermain sebagai satu pasukan dan mengeluarkan potensi terbaik kami,” katanya.
Aksi final Shopee Cup kali ini dilihat sebagai peluang terbaik buat Selangor untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi antarabangsa selain mengukuhkan kebangkitan pasukan di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kempen, Gergasi Merah kini hanya selangkah lagi untuk melakar sejarah muncul juara salah satu kejohanan kelab paling berprestij di Asia Tenggara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC