PETALING JAYA – Ketua jurulatih Buriram United, Mark Jackson memberi amaran bahawa pasukannya tetap ‘lapar’ untuk mempertahankan kejuaraan meskipun bakal berdepan cabaran getir menentang Selangor FC pada aksi final pertama Shopee Cup 2025/26 di Stadium MBPJ malam ini.
Menurut Jackson, Buriram hadir ke Malaysia dengan keyakinan tinggi walaupun terpaksa mengharungi jadual padat sepanjang musim ini.
“Persiapan kami berjalan sangat baik walaupun perlu bermain banyak perlawanan secara berterusan. Situasi ini sudah biasa buat kami sepanjang musim.
“Pemulihan dan persediaan sangat penting dan kami datang dengan keyakinan selepas memperoleh keputusan yang kami mahukan dalam Chang FA Cup,” katanya pada sidang media pra-perlawanan semalam.
Pengendali dari Australia itu mengakui final sentiasa menjanjikan aksi sengit memandangkan kedua-dua pasukan memiliki keinginan besar untuk menjulang trofi.
“Kami tahu esok akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar. Final sentiasa intensif kerana kedua-dua pasukan sangat mahu menang.
“Namun, pasukan ini sudah banyak melalui situasi seperti ini sebelum ini, jadi kami tahu bagaimana untuk mengendalikannya. Kami datang untuk bermain bola sepak kami, mengikut perancangan dan pulang dengan keputusan yang diinginkan,” ujarnya.
Jackson turut menegaskan bahawa Selangor bukan lawan yang boleh dipandang mudah, malah menyifatkan skuad Gergasi Merah sebagai pasukan tersusun dan berbahaya.
“Selangor dan Johor Darul Ta’zim adalah dua pasukan yang berbeza.
“Kami sentiasa menganalisis lawan dan mencari ruang yang boleh dieksploitasi, tetapi fokus utama tetap kepada apa yang perlu dilakukan oleh pasukan sendiri. Kadangkala analisis tepat, kadangkala lawan memberi kejutan, jadi kemampuan menyesuaikan diri ketika perlawanan sangat penting,” katanya.
Buriram bagaimanapun bakal turun tanpa dua tonggak utama, Guilherme Bissoli dan Goran Causic yang terlepas aksi final pertama itu.
Meskipun kehilangan dua pemain penting, Jackson tetap yakin dengan kekuatan skuad dimiliki.
“Sudah tentu kehilangan pemain utama memberi kesan kerana Bissoli dan Causic sangat penting buat kami.
“Tetapi saya sentiasa mengingatkan pemain bahawa kami tidak bergantung kepada individu semata-mata. Setiap pemain dalam skuad ini sentiasa bersedia untuk tampil dan beraksi demi kelab,” jelasnya.
Dalam masa sama, Jackson menolak tanggapan bahawa hanya Selangor memiliki motivasi tinggi untuk muncul juara.
“Ramai kata Selangor lapar untuk menjadi juara, tetapi kami juga lapar.
“Kami tidak akan sesekali mengambil mudah aksi final. Kami akan lakukan segala-galanya untuk mempertahankan kejuaraan ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BRUTD