ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Idris terus membuktikan kesungguhan dalam memartabatkan bola sepak Johor apabila merasmikan majlis pecah tanah pusat latihan baharu Johor Darul Ta’zim pada Isnin.
Pusat latihan moden yang dibangunkan di kawasan seluas 39 ekar berhadapan Stadium Sultan Ibrahim itu dijangka menjadi antara hab latihan bola sepak paling canggih di Asia sebaik siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Kemudahan bersepadu tersebut bakal menempatkan semua pasukan JDT bermula dari peringkat akademi sehingga skuad senior selain dilengkapi pelbagai fasiliti bertaraf antarabangsa.
Antara kemudahan yang bakal dibina termasuk beberapa padang latihan berkualiti tinggi, fasiliti latihan tertutup, pusat sains sukan, unit rehabilitasi dan pemulihan, gimnasium moden, pusat perubatan, jabatan analisis prestasi, stadium mini, auditorium serta penginapan pemain.
Malah, pembangunan itu turut memberi fokus besar terhadap pembangunan akar umbi menerusi ruang khas buat akademi dan program pembangunan pemain muda.
Langkah berkenaan sekali lagi membuktikan visi besar Tunku Ismail selaku pemilik JDT yang mahu memastikan Harimau Selatan terus berkembang sebagai institusi bola sepak profesional moden dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Sejak mengambil alih kelab itu, Tunku Ismail berjaya mencetuskan revolusi bola sepak di negara ini apabila membawa JDT muncul kuasa dominan Liga Malaysia selain dikenali sebagai antara kelab paling disegani di Asia.
Pusat latihan baharu itu juga dijangka memperkukuhkan lagi struktur pembangunan pemain elit serta memperkemaskan sistem pembangunan bakat muda di Johor secara lebih profesional dan tersusun.
Selain memperkukuhkan misi memburu kejayaan di pentas domestik dan Asia, kemudahan tersebut diyakini mampu menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti pada masa depan.
Turut hadir mengiringi majlis tersebut ialah Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail dan Tunku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail.
Majlis itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal, Alistair Edwards serta ketua jurulatih, Xisco Munoz bersama pemain skuad senior dan akademi JDT.
Pelancaran pusat latihan baharu itu sekali lagi mengukuhkan status JDT sebagai penanda aras pembangunan infrastruktur bola sepak di rantau Asia Tenggara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST