KUALA LUMPUR – Malaysia dilihat masih belum mencapai tahap kematangan politik sebenar apabila budaya fitnah, adu domba dan pengkhianatan terus mencemari landskap politik negara.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rakyat kini semakin muak dengan permainan politik sempit yang lebih menumpukan perebutan kuasa berbanding menyelesaikan masalah rakyat.
Menurut beliau, dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran masa depan, masih ada segelintir elit politik yang terus tenggelam dalam budaya politik toksik.
“Politik sepatutnya menjadi medan khidmat untuk membina negara, menjaga amanah rakyat dan mengangkat martabat bangsa.
“Namun yang berlaku sering kali ialah politik dijadikan alat memperkayakan kelompok tertentu, membina pengaruh, menjatuhkan lawan dengan fitnah dan memecah-belahkan masyarakat demi kelangsungan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, politik jujur seharusnya dibina atas asas integriti, fakta dan amanah kepada rakyat, bukannya melalui pembohongan atau manipulasi sentimen kaum dan agama.
Katanya, budaya ‘perception war’ yang melampau ketika ini menyebabkan kebenaran sering tenggelam dalam lambakan propaganda media sosial sehingga pembunuhan karakter menjadi senjata politik paling murah dan berbahaya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa politik matang bukan bermaksud tiada persaingan, sebaliknya kemampuan mengurus perbezaan pandangan secara beradab dan rasional.
“Negara yang matang politiknya bertanding idea dan dasar, bukan berlumba mencipta fitnah.
“Malangnya, budaya taksub kepartian yang melampau masih berlaku sehingga musuh politik dianggap musuh mutlak yang perlu dihancurkan,” ujarnya.
Tambah beliau, politik fitnah dan adu domba hanya akan menghancurkan perpaduan rakyat selain melahirkan generasi muda yang semakin sinis terhadap demokrasi dan kepimpinan negara.
Menurutnya lagi, politik khianat yang melibatkan pengkhianatan mandat rakyat dan percaturan kuasa tanpa prinsip turut menjadi antara punca utama rakyat hilang hormat terhadap ahli politik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia memerlukan budaya politik baharu yang lebih berintegriti, matang dan mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan parti.
“Tanpa kejujuran, politik akan menjadi pentas manipulasi. Tanpa kematangan, politik akan terus melahirkan perpecahan.
“Masa depan Malaysia tidak boleh dibina di atas fitnah, adu domba dan pengkhianatan,” katanya. – DETIK MALAYSIA