KUALA LUMPUR – Apple cipta sejarah apabila bakal menyiarkan satu perlawanan utama bola sepak profesional menggunakan sepenuhnya teknologi iPhone menerusi siaran langsung di platform Apple dan Major League Soccer hujung minggu ini.
Perlawanan membabitkan LA Galaxy menentang Houston Dynamo FC di Stadium Dignity Health Sports Park pada Sabtu dijangka menjadi detik baharu dalam dunia penyiaran sukan moden.
Apa yang mencuri perhatian, keseluruhan produksi siaran langsung itu akan dirakam menggunakan telefon pintar iPhone 17 Pro tanpa menggunakan kamera penyiaran tradisional.
Menurut Apple, puluhan unit iPhone 17 Pro akan ditempatkan di seluruh stadium bagi mendapatkan sudut rakaman lebih kreatif termasuk kawasan tepi padang, belakang gol, tempat duduk penyokong dan lorong pemain.
Teknologi itu membolehkan penonton menikmati pengalaman visual lebih dekat dan sinematik selain memberikan perspektif baharu ketika aksi berlangsung.
Apple berkata, kelebihan saiz kompak iPhone 17 Pro memudahkan kru produksi meletakkan kamera di lokasi yang sebelum ini sukar dicapai menggunakan peralatan siaran biasa.
Selain rakaman aksi di atas padang, siaran berkenaan turut memaparkan suasana pemanas badan pemain, reaksi penyokong dan detik-detik eksklusif sepanjang hari perlawanan.
Langkah berani itu dilihat sebagai usaha Apple memperkukuhkan pengaruh mereka dalam industri penyiaran sukan global menerusi platform Apple TV.
Sebelum ini, Apple pernah menggunakan teknologi iPhone ketika siaran “Friday Night Baseball” pada September tahun lalu membabitkan aksi Boston Red Sox dan Detroit Tigers.
Eksperimen tersebut menerima pujian ramai kerana menghasilkan visual yang dianggap lebih sinematik dan dekat dengan penonton.
Malah, telefon iPhone yang digunakan dalam siaran itu turut dimasukkan ke dalam koleksi tetap National Baseball Hall of Fame and Museum.
Menurut Apple lagi, sistem kamera Fusion 48 megapiksel pada iPhone 17 Pro menjadi elemen penting dalam menjayakan produksi berkenaan.
Peranti itu juga menggunakan teknologi rakaman Apple Log 2 bagi memastikan kualiti imej kekal bertaraf profesional sepanjang siaran langsung berlangsung.
Apple sebelum ini secara berperingkat memperluaskan penggunaan iPhone dalam beberapa produksi sukan termasuk aksi final MLS Cup 2025.
Kini, perlawanan LA Galaxy menentang Houston Dynamo FC dianggap sebagai langkah paling besar dalam evolusi teknologi penyiaran sukan.
Siaran langsung itu juga berlangsung ketika MLS memasuki minggu terakhir sebelum liga dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada FIFA World Cup 2026.
Perlawanan berkenaan dijangka ditonton peminat dari lebih 100 negara menerusi Apple TV.
Selain aksi perlawanan, pelanggan Apple TV turut diberikan akses kepada kandungan eksklusif, analisis serta rakaman belakang tabir sepanjang musim MLS.
Pemerhati industri melihat penggunaan iPhone dalam siaran profesional mampu mengubah landskap penyiaran sukan pada masa depan kerana kos operasi yang lebih fleksibel dan mobiliti tinggi.
Dalam masa sama, ia membuka peluang kepada produksi berskala kecil untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi tanpa memerlukan kelengkapan kamera besar dan mahal.
Perlawanan bersejarah itu dijangka menjadi penanda aras baharu dalam dunia penyiaran digital dan membuktikan telefon pintar kini mampu berdiri sebaris dengan teknologi kamera profesional. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Apple TV