SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengulangi bantahan tegas terhadap laporan berhubung perjanjian bekalan nadir bumi antara Lynas Rare Earths dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) yang didakwa bernilai AS$96 juta.
Mapim menyifatkan perjanjian tersebut sebagai isu besar yang bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi dan industri, malah turut menyentuh soal etika, geopolitik, alam sekitar serta kedaulatan negara.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia tidak boleh terlibat secara tidak langsung dalam rantaian bekalan ketenteraan global yang dikaitkan dengan peperangan dan penindasan terhadap kemanusiaan.
Menurut beliau, kebimbangan itu semakin serius susulan sokongan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Israel dalam konflik di Gaza yang didakwa telah didokumentasikan secara meluas.
“Malaysia tidak boleh menjadi nod senyap dalam jentera peperangan dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azmi turut menegaskan Malaysia selama ini dikenali dengan dasar luar yang bebas dan berteraskan keamanan, justeru sebarang penglibatan dalam rantaian bekalan strategik ketenteraan asing bercanggah dengan prinsip tersebut.
Selain itu, beliu berpandangan sumber nadir bumi sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan teknologi aman, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi perubatan, bukannya bagi tujuan persenjataan serta konflik ketenteraan.
Dalam kenyataan sama, pertubuhan itu turut membangkitkan kebimbangan berhubung risiko alam sekitar susulan operasi Lynas di Pahang yang didakwa terus menimbulkan persoalan berkaitan sisa radioaktif dan kesan kesihatan jangka panjang terhadap masyarakat setempat.
MAPIM juga menggesa kerajaan menilai semula semua kerangka undang-undang, dasar serta pelesenan berkaitan pemprosesan mineral strategik dan perjanjian rantaian bekalan melibatkan pertahanan asing.
Menurut mereka, kerajaan perlu memastikan aspek kedaulatan negara, keselamatan alam sekitar dan prinsip hak asasi manusia sentiasa dipelihara sebelum sebarang keputusan dibuat.
Pada masa sama, Mapim mendesak supaya isu berkenaan dibawa ke penelitian Parlimen selain melalui proses rundingan awam, penilaian alam sekitar bebas serta pendedahan telus terhadap semua bentuk perjanjian berkaitan. – DETIK MALAYSIA