Gambar hiasan.
SHAH ALAM – Isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) perlu kembali berpandukan Dasar Pendidikan Negara, Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, negara tidak boleh mengorbankan asas pembinaan negara bangsa hanya disebabkan tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak tertentu.
Menurut beliau, kerangka pendidikan negara diwujudkan bagi menyatukan rakyat melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sejarah nasional dan nilai kenegaraan yang sama.
“Sebarang sistem pendidikan yang mahu mendapat pengiktirafan rasmi atau laluan khas ke institusi awam mestilah selari dengan kerangka nasional tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak perlu mewujudkan laluan khas untuk pemegang sijil UEC kerana langkah itu boleh mewujudkan precedent yang memberi kesan kepada keseluruhan sistem pendidikan negara.
“Jika dibuka ruang pengecualian kepada satu aliran pendidikan di luar sistem nasional, ia boleh melemahkan integrasi nasional selain menghakis kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, keadilan juga perlu diberikan kepada pelajar yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan serta menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikut syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Tidak wajar wujud dua standard berbeza dalam kemasukan ke institusi awam yang dibiayai rakyat dan negara,” katanya.
Dalam masa sama, Mapim menegaskan penguasaan Bahasa Melayu dan kefahaman sejarah negara bukan sekadar syarat formaliti, sebaliknya asas penting pembentukan identiti nasional serta perpaduan rakyat berbilang kaum.
Bagaimanapun, beliau mengakui masyarakat mempunyai hak mempelajari bahasa ibunda dan mengurus sistem pendidikan komuniti masing-masing, namun ia tidak bermaksud dasar teras pendidikan kebangsaan perlu diketepikan.
Menurutnya, apa yang perlu diberi perhatian ialah memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan supaya lebih berkualiti dan diyakini semua kaum selain memastikan semua aliran pendidikan menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Malaysia memerlukan satu dasar pendidikan yang memperkukuh perpaduan nasional, bukannya membuka lebih banyak jurang pemisahan sosial dan identiti.
“Pendidikan mesti menjadi jambatan penyatuan rakyat, bukan medan kompromi politik yang akhirnya melemahkan asas negara bangsa,” katanya. – DETIK MALAYSIA