Jais Abdul Karim
KUALA LUMPUR – Tindakan pasukan Thailand enggan meneruskan perlawanan akhir Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF Kuala Lumpur 2026 dilihat mempunyai persamaan dengan insiden membabitkan skuad Malaysia pada Kejohanan Piala Raja Thailand 2016 di Bangkok.
Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Integriti ASTAF, Jais Abdul Karim berkata, ketika kejohanan tersebut, pasukan Malaysia dilaporkan membantah beberapa keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah selepas regu pertama tewas kepada Thailand.
Katanya, situasi itu memuncak apabila regu kedua Malaysia mengambil keputusan tidak meneruskan permainan sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadilan.
“Susulan tindakan tersebut, beberapa pemain dan pegawai negara dikenakan tindakan disiplin oleh International Sepaktakraw Federation.
“Antara yang menerima hukuman penggantungan selama empat bulan ialah Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Mohd Safaruddin Abu Bakar, ketua jurulatih Abdul Talib Ahmad, penolong jurulatih Mohd Rashidi Nordin serta Izurin Rifin,” katanya.
Menurut laporan media ketika itu, hukuman dikenakan kerana mereka enggan meneruskan permainan susulan pertikaian terhadap keputusan pengadil.
“Ia sekali gus menunjukkan isu utama yang diberi perhatian bukan soal menang atau kalah, sebaliknya tindakan tidak meneruskan perlawanan selepas berlaku bantahan terhadap keputusan rasmi pengadil,” ujarnya.
Selain penggantungan, Persatuan Sepaktakraw Malaysia turut dilaporkan membayar denda sebanyak AS$2,000 kepada ISTAF bagi menyelesaikan penggantungan dua pemain yang masih aktif beraksi dalam Liga Sepak Takraw (STL) ketika itu.
Bagaimanapun, tiga pegawai lain tetap menjalani hukuman penggantungan yang telah diputuskan. – DETIK MALAYSIA