Dr Sany Araby
SHAH ALAM – Misi Sumud Flotilla untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza perlu diteruskan meskipun berdepan pelbagai ancaman, halangan dan keraguan pihak tertentu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kepungan dikenakan terhadap Gaza bukan sekadar pertikaian politik, sebaliknya hukuman kolektif berpanjangan terhadap rakyat awam.
Menurut beliau, menyerah kepada ketakutan atau jangkaan kegagalan hanya akan memberi legitimasi kepada penindasan yang dilakukan secara paksa.
“Mapim menolak sikap mudah mengalah kerana semangat ‘sumud’ yang membawa maksud keteguhan menghadapi penindasan mempunyai makna besar kepada rakyat Palestin dan kemanusiaan sejagat.
“Setiap misi flotila kemanusiaan ke Gaza bukan sekadar pelayaran, tetapi satu pengisytiharan bahawa suara hati manusia masih hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sejarah membuktikan sistem penindasan dapat bertahan bukan sahaja melalui kekuatan ketenteraan, malah akibat sikap membisu masyarakat dunia dan normalisasi terhadap ketidakadilan.
Katanya, walaupun flotila itu disekat atau gagal memasuki Gaza, misi berkenaan tidak boleh dianggap gagal kerana ia berjaya membuka mata dunia terhadap kekejaman sekatan yang dikenakan.
“Ia memaksa media antarabangsa dan kerajaan dunia melihat bencana kemanusiaan di Gaza, selain menggerakkan solidariti global serta mencabar budaya kebal Zionis.
“Kejayaan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan bantuan berjaya memasuki Gaza, tetapi sejauh mana sekatan itu didedahkan, ditolak dan dilawan masyarakat antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, Mapim turut menggesa kerajaan, pertubuhan kemanusiaan, aktivis, kesatuan sekerja dan masyarakat dunia menyokong segala usaha aman bagi menamatkan kepungan di Gaza.
“Sumud Flotilla bukan sekadar kapal merentasi lautan, tetapi simbol kemanusiaan yang enggan menyerah kalah terhadap penindasan.
“Selagi Gaza terus dikepung, tanggungjawab moral untuk menentang sekatan itu tetap hidup,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Sumud Nusantara Official