SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendakwa usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menekan beberapa negara Islam menyertai Abraham Accords adalah cubaan memulihkan imej Israel yang semakin terjejas susulan perang di Gaza.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, gesaan terhadap negara seperti Arab Saudi, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir dan Jordan untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel dibuat ketika dunia masih menyaksikan penderitaan rakyat Palestin.
Menurut beliau, tindakan itu disifatkan tidak bermoral kerana dilakukan ketika serangan berterusan Israel di Gaza masih mengorbankan ribuan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Tekanan ini dilihat sebagai usaha terancang untuk menyelamatkan kedudukan politik dan diplomatik Israel yang kini semakin tercalar akibat tindakan rejim Zionis.
“Adalah tidak bermoral untuk menggesa normalisasi hubungan ketika pembunuhan rakyat Palestin masih berlaku di Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Abraham Accords sejak awal lagi dibentuk tanpa menangani punca utama konflik Palestin termasuk penjajahan haram, rampasan tanah, peluasan penempatan haram dan penafian hak rakyat Palestin.
Katanya, normalisasi hubungan juga gagal membawa keamanan yang adil, sebaliknya membolehkan Israel terus memperluaskan pengaruh politik serta ekonominya tanpa dipertanggungjawabkan atas kekejaman dilakukan.
“Mapim memuji pendirian Pakistan yang tegas menolak tekanan Amerika Syarikat untuk menyertai perjanjian tersebut.
“Pendirian itu membuktikan prinsip dan maruah masih boleh dipertahankan walaupun berdepan tekanan kuasa besar dunia,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat dunia Islam secara umumnya terus menolak normalisasi hubungan dengan Israel kerana menyaksikan sikap hipokrit Barat dalam isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa.
Katanya, cubaan mengaitkan Abraham Accords dengan rundingan melibatkan Iran turut menunjukkan isu Palestin sedang dimanipulasi demi kepentingan geopolitik Amerika Syarikat dan Israel di Asia Barat.
“Palestin bukan isu diplomatik biasa, tetapi melibatkan penjajahan dan perjuangan membebaskan rakyat tertindas.
“Sebarang normalisasi tanpa pembebasan Palestin adalah satu pengkhianatan terhadap hak rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata, negara-negara Islam perlu memperkukuhkan kesatuan politik, ekonomi dan diplomatik bagi memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Selagi penjajahan Zionis berterusan, mempertahankan Palestin kekal menjadi tanggungjawab moral seluruh manusia,” katanya. – DETIK MALAYSIA