SHAH ALAM – Dunia Islam dan masyarakat antarabangsa diseru mengutamakan pendekatan diplomasi bagi membendung peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berisiko mengancam keamanan serantau serta kestabilan global.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan semasa menunjukkan konflik yang berlaku tidak lagi terhad kepada satu negara atau satu medan, sebaliknya semakin berkembang dalam rangkaian kompleks yang melibatkan aspek ketenteraan, politik dan krisis kemanusiaan.
Menurut beliau, corak peningkatan ketegangan, tindak balas ketenteraan dan konflik proksi menunjukkan risiko peluasan konflik yang semakin tinggi sekiranya tiada kawalan serta intervensi diplomatik yang berkesan.
“Isu utama bukan sekadar siapa yang akan terlibat seterusnya, tetapi bagaimana dunia gagal membendung kitaran konflik yang semakin melebar.
“Keamanan tidak akan tercapai melalui eskalasi berterusan, sebaliknya menerusi komitmen politik yang jujur dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mapim menggesa semua pihak berkepentingan mengutamakan rundingan dan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan, mengelakkan retorik yang boleh menambah ketegangan, mematuhi undang-undang antarabangsa serta menjamin perlindungan nyawa orang awam.
Dalam pada itu, katanya, dunia Islam perlu bergerak secara lebih tersusun, bersepadu dan strategik menerusi penyelarasan politik yang lebih kukuh, pendekatan bersama dalam isu kemanusiaan antarabangsa serta pengukuhan suara kolektif di platform global.
Mohd Azmi berkata, krisis kemanusiaan yang berlaku termasuk di Gaza perlu terus diberikan perhatian kerana penderitaan rakyat awam semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera masyarakat antarabangsa.
“Maruah dan nyawa manusia mesti mengatasi kepentingan politik dan persaingan kuasa.
“Dunia kini berada pada titik kritikal, di mana keputusan hari ini akan menentukan sama ada generasi akan datang mewarisi keamanan atau konflik berpanjangan,” ujarnya.
Beliau menegaskan MAPIM kekal komited memperjuangkan keadilan, perlindungan kemanusiaan dan penyelesaian aman untuk semua pihak yang terkesan konflik. – DETIK MALAYSIA