MUGELLO, Itali – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berdepan hari mencabar pada sesi latihan Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 di Litar Mugello selepas terlibat dalam dua kemalangan berasingan semalam.
Pelumba pasukan MT Helmets-MSi yang mendapat sokongan AEON Credit itu menamatkan sesi latihan gabungan di kedudukan ke-21 keseluruhan sekali gus memaksanya mengharungi saingan Kelayakan 1 (Q1) hari ini.
Hakim memulakan sesi Latihan Bebas 1 (FP1) dengan cukup positif apabila berjaya memperbaiki catatan masa secara konsisten sebelum terjatuh kira-kira lapan minit sebelum sesi berakhir.
Bagaimanapun, pelumba muda Malaysia itu masih mencatat masa terbaik 2 minit 11.486 saat untuk menduduki tempat kelapan, hanya 1.556 saat di belakang pelumba terpantas sesi tersebut.
Aksi berani Hakim yang sentiasa menolak had kemampuan jentera dan dirinya sendiri jelas membuktikan keyakinan yang semakin meningkat sepanjang kempen Moto3 musim 2026.
Namun, sesi latihan sebelah petang bertukar lebih mencabar apabila Hakim mengalami kemalangan jenis high-side dalam tempoh 10 minit pertama.
Insiden itu menjejaskan persiapannya dan memaksa beliau kembali ke garaj pasukan sebelum turun semula ke litar pada penghujung sesi bagi mengumpul data penting.
Hakim akhirnya mencatat masa terbaik 1:56.854 saat untuk menamatkan sesi di kedudukan ke-21 keseluruhan, ketinggalan 1.042 saat berbanding pelumba terpantas.
Kegagalan menempatkan diri dalam kelompok 14 pelumba terbaik menyebabkan Hakim perlu memulakan cabaran dari Q1 bagi merebut slot ke Q2 sebelum menentukan kedudukan petak permulaan perlumbaan esok.
Meskipun dua kemalangan mengganggu persediaannya, prestasi yang dipamerkan tetap memberi petanda positif terhadap kelajuan sebenar pelumba kelahiran Terengganu itu di salah satu litar paling mencabar dalam kalendar Moto3.
Kini, fokus Hakim dan pasukan MT Helmets-MSi terarah kepada usaha memperkemaskan konsistensi tunggangan serta mengelakkan kesilapan bagi memastikan peluang memburu keputusan terbaik di Mugello terus terbuka. – DETIK MALAYSIA