JAKARTA – Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir meminta penyokong skuad Garuda memberikan sambutan baik kepada peminat pasukan lawan yang hadir menyaksikan kejohanan FIFA ASEAN Cup 2026 di Indonesia.
Beliau berkata, sikap profesional dan keramahan penyokong tuan rumah penting bagi memastikan kejohanan yang berlangsung di Jakarta dan Bandung dari 25 September hingga 5 Oktober depan berjalan dalam suasana aman, tertib dan selesa.
“Jadi kami harapkan juga nanti suporter tamu, seperti dari Malaysia, itu diterima dengan baik, terus ada juga Thailand, Vietnam, juga diterima dengan baik.
“Semua harus memberikan yang terbaik untuk bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui pada program Roll To Glory FIFA ASEAN Cup Family Parade di Bundaran HI, Jakarta hari ini.
Indonesia menjadi tuan rumah Divisi I FIFA ASEAN Cup 2026 yang julung kali dianjurkan, dengan perlawanan Kumpulan A dijadualkan berlangsung di Stadion Utama Gelora Bung Karno (GBK), manakala Kumpulan B diadakan di Stadion Si Jalak Harupat.
Kumpulan A membabitkan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Bangladesh, manakala Kumpulan B dihuni Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan.
Erick berkata, layanan baik terhadap penyokong pasukan lawan merupakan sebahagian daripada usaha Indonesia membuktikan kemampuan negara itu menjadi tuan rumah yang baik dan mesra.
Katanya, penganjuran edisi sulung kejohanan berkenaan juga menjadi peluang kepada Indonesia dan penyokong bola sepak tempatan untuk menunjukkan imej positif kepada dunia.
Indonesia sebelum ini menerima kepercayaan FIFA sebagai negara pertama menjadi tuan rumah FIFA ASEAN Cup 2026. -DETIK MALAYSIA
Kredit foto – CNN Indonesia
