KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) terus komited memperkukuh pembangunan sukan orang pekak menerusi kerjasama strategik bersama Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia bagi memastikan golongan tersebut menikmati peluang pembangunan sukan yang lebih inklusif dan kompetitif.
Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dengan Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruen baru-baru ini yang membincangkan pelbagai aspek pembangunan atlet, pembangunan bakat muda, penyelarasan program sukan serta pengukuhan struktur organisasi sukan orang pekak di negara ini.
Menurut KBS, setiap pandangan, cadangan dan keperluan yang dikemukakan oleh MSDeaf akan diberi perhatian sewajarnya dalam usaha memperkasakan ekosistem sukan negara yang lebih mesra komuniti orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, usaha memperkukuhkan pembangunan sukan komuniti pekak menerusi Majlis Sukan Orang Pekak Malaysia turut dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan pengurusan dan pembangunan sukan tersebut dilaksanakan secara lebih tersusun serta berdaya saing.
Sementara itu, Ong berkata, pihaknya menghargai kesediaan KBS untuk mendengar suara dan keperluan komuniti sukan orang pekak, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada atlet pekak untuk berkembang serta bersaing di peringkat lebih tinggi.
“MSDeaf berharap kerjasama erat bersama kerajaan negeri, persatuan sukan dan semua pihak berkepentingan dapat diteruskan agar atlet pekak tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan sukan negara,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak negeri membuka peluang kepada atlet orang pekak untuk menyertai program pembangunan, latihan dan kejohanan sukan di peringkat negeri serta kebangsaan.
Langkah itu diyakini mampu melahirkan lebih ramai atlet pekak berbakat yang berpotensi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sukan inklusif yang memberi peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat. – DETIK MALAYSIA