MEDAN, Indonesia – Skuad bawah 19 tahun negara memulakan kempen Kumpulan B Kejohanan ASEAN Bawah 19 Tahun (B-19) 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Singapura 3-0 di Stadium Teladan, semalam.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk memburu tiket ke separuh akhir dalam saingan yang hanya menawarkan tempat kepada juara kumpulan dan satu naib juara terbaik.
Anak-anak buah negara menguasai permainan sejak awal sebelum membuka jaringan menerusi tandukan kemas Arif Aiman Za’aba pada minit ke-21 hasil sepakan penjuru yang tepat.
Malaysia terus memberi tekanan kepada pertahanan lawan dan berjaya menggandakan kelebihan lima minit sebelum rehat apabila penyerang berbisa, Abid Safaraz menanduk masuk gol kedua untuk membawa skuad muda negara mendahului 2-0 pada babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Singapura cuba bangkit mencari jaringan, namun disiplin tinggi dipamerkan pemain Malaysia berjaya mengekang segala usaha pasukan lawan.
Tengku Hasyri kemudian memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia apabila meledak gol ketiga menerusi rembatan lencong menarik pada minit ke-61 yang gagal diselamatkan penjaga gol Singapura.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia membawa bekalan keyakinan menjelang aksi kedua Kumpulan B menentang Brunei Darussalam di venue sama pada 5 Jun ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAS