KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Alliance of World Mosques in Defence of Al-Aqsa (MANAR) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terbaharu menteri Israel, peneroka ekstremis dan pasukan pendudukan yang menceroboh kawasan suci Masjid Al-Aqsa.
Ketiga-tiga organisasi itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa selain satu provokasi berbahaya yang mengancam keamanan serantau dan global. Mereka menegaskan usaha berterusan pihak berkuasa Israel untuk mengubah status sejarah dan perundangan Al-Aqsa adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Menurut kenyataan bersama itu, Masjid Al-Aqsa bukan sekadar isu rakyat Palestin, sebaliknya amanah dan tanggungjawab seluruh umat Islam di dunia. Sebarang serangan terhadap Al-Aqsa dianggap sebagai serangan terhadap maruah agama dan warisan hampir dua bilion umat Islam.
MAPIM, MANAR dan SHURA turut menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya melangkaui sekadar kenyataan kebimbangan dengan mengambil langkah diplomatik, politik, perundangan dan ekonomi yang lebih tegas bagi melindungi Al-Aqsa serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berulang kali.
Mereka turut menuntut mesyuarat tergempar OIC diadakan segera bagi menyelaraskan tindak balas bersama, selain mendesak campur tangan segera Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan provokasi Israel dan melindungi tapak-tapak suci.
Selain itu, kenyataan tersebut menggesa mekanisme pemantauan antarabangsa diwujudkan bagi menjaga keselamatan Masjid Al-Aqsa, di samping mengenakan tekanan diplomatik dan sekatan terhadap pegawai Israel yang terlibat dalam tindakan berkenaan.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kegagalan masyarakat antarabangsa bertindak hanya akan menggalakkan lagi pencabulan yang dilakukan rejim pendudukan dan berisiko mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau tersebut.
Kenyataan itu turut ditandatangani Pengerusi MANAR, Ahmad Awang dan Pengerusi SHURA, Abdul Ghani Samsudin yang menegaskan solidariti berterusan mereka bersama rakyat Palestin serta menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya terus bersatu mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa. – DETIK MALAYSIA