KUALA LUMPUR – Kejohanan sulung Piala Lee Chong Wei (LCW Cup) yang dinanti-nantikan pemain badminton remaja seluruh negara akhirnya disahkan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 29 Ogos hingga 6 September depan.
Kejohanan yang mendapat pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000, sekali gus menjadikannya antara kejohanan badminton remaja paling lumayan pernah dianjurkan di negara ini.
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, kejohanan tersebut bukan sahaja menawarkan ganjaran wang tunai, malah finalis turut berpeluang menjalani sesi pemilihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi membuka laluan ke peringkat lebih tinggi.
Pendaftaran kejohanan akan dibuka secara rasmi pada 15 Jun ini bermula pukul 12 tengah hari dengan setiap kategori dihadkan kepada 128 peserta serta tambahan 32 tempat dalam senarai menunggu. Sambutan hangat daripada pemain muda dan ibu bapa sejak pelancaran rasmi kejohanan pada Februari lalu menunjukkan minat yang cukup memberangsangkan terhadap penganjuran edisi sulung itu.
Format pertandingan menyaksikan 128 pemain bersaing merebut 32 slot ke pusingan akhir sebelum disertai 32 pemain pilihan negeri yang dicalonkan oleh persatuan badminton negeri masing-masing bagi melengkapkan senarai 64 pemain terbaik.
Menariknya, kejohanan itu turut menggunakan sistem pemarkahan baharu 3×15 yang diperkenalkan oleh Badminton World Federation, iaitu format terbaik daripada tiga set dengan setiap set dimainkan sehingga 15 mata.
Piala LCW 2026 mempertandingkan kategori bawah 13, bawah 15 dan bawah 17 tahun melibatkan acara perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, beregu perempuan serta beregu campuran bagi kategori bawah 17 tahun.
Menurut Chong Wei, hasil kutipan yuran penyertaan pula akan disalurkan kepada sebuah badan kebajikan yang akan diumumkan kemudian sebagai sebahagian daripada usaha memberi kembali kepada masyarakat.
“Piala LCW merupakan komitmen saya untuk membantu mencungkil bakat baharu, mempromosikan gaya hidup sihat dan memberi peluang kepada generasi muda mengejar impian dalam sukan badminton,” katanya.
Dengan penyertaan dijangka mendapat sambutan besar dari seluruh negara, kejohanan itu dilihat mampu menjadi platform penting dalam melahirkan pelapis baharu yang bakal mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA