KUALA LUMPUR – Auto Bavaria bersama Performance Motors Malaysia bakal menganjurkan Sime Motors MotorExpo 2026, pameran terbesar yang menghimpunkan kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad selama tiga hari bermula esok di Dewan A, XOX Arena, The Arch Galeries Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak.
Pameran yang berlangsung sehingga 7 Jun itu dibuka kepada orang ramai secara percuma dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Bertemakan ‘Kereta dan Motosikal Terbaik. Tawaran Terbaik. Inilah Masanya untuk Memiliki BMW, MINI atau BMW Motorrad Impian Anda’, acara tersebut menawarkan peluang kepada pengunjung untuk meneroka pelbagai model premium di bawah satu bumbung selain menikmati promosi eksklusif dan pengalaman pandu uji.
Jenama BMW akan menampilkan pelbagai model termasuk sedan mewah, Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV), model elektrik penuh serta kenderaan berprestasi tinggi BMW M.
Antara tarikan utama ialah BMW X3 30 xDrive M Sport yang ditawarkan dengan ansuran bulanan bermula RM3,340 bersama set hadiah Braun Buffel bernilai RM4,800, selain BMW iX1 eDrive20L M Sport yang hadir dengan rebat menarik dan kadar pembiayaan serendah 1.68 peratus menerusi BMW Financial Services Malaysia.
MINI pula membawa pelbagai pilihan model petrol dan elektrik termasuk rangkaian John Cooper Works serta MINI Aceman Electric yang ditawarkan dengan kadar pembiayaan serendah 0.88 peratus.
Turut menjadi tumpuan ialah MINI Paul Smith Edition, hasil kolaborasi khas bersama pereka fesyen terkenal Britain yang mengetengahkan reka bentuk unik dan eksklusif.
Pelanggan yang membeli mana-mana model MINI sepanjang acara itu turut menikmati rebat tunai, fon kepala Sony bernilai RM1,999 serta pelekat kereta eksklusif.
Sementara itu, BMW Motorrad bakal mempersembahkan rangkaian motosikal premium yang memenuhi keperluan peminat kembara dan tunggangan berprestasi tinggi.
Kemuncak acara dijangka berlangsung pada Sabtu ini apabila BMW Motorrad melancarkan secara rasmi model BMW F 450 GS yang dinanti-nantikan pada pukul 11 pagi.
Pengunjung turut berpeluang melihat dengan lebih dekat BMW Motorrad The Jahre edisi khas yang dihasilkan sempena meraikan kerjasama Auto Bavaria selama 33 tahun bersama BMW Motorrad di Malaysia.
Ketua Operasi Auto Bavaria, Wong Loke Win berkata, Sime Motors MotorExpo 2026 menjadi platform penting untuk menghimpunkan rangkaian terbaik BMW, MINI dan BMW Motorrad dalam satu acara yang mudah diakses pelanggan.
“Pameran ini merupakan antara acara terbesar yang pernah kami anjurkan dan menawarkan pelbagai tawaran pemilikan menarik serta pengalaman pandu uji yang membolehkan pelanggan meneroka kenderaan impian mereka dengan lebih dekat.
“Ini adalah masa terbaik untuk pelanggan menikmati dan memiliki jenama premium yang kami wakili,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pameran tersebut sepanjang hujung minggu ini atau mendapatkan maklumat lanjut di bilik pameran Auto Bavaria seluruh negara. – DETIK MALAYSIA