CALIFORNIA – Jordan menamatkan persiapan mereka menjelang Piala Dunia FIFA 2026 dengan kekalahan 0-2 kepada Colombia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Snapdragon, San Diego.
Skuad kendalian Jamal Al-Salami menurunkan beberapa tonggak utama termasuk penjaga gol Yazeed Abu Laila, pertahanan Ehsan Haddad, Abdullah Nasib dan Yazan Al-Arab, manakala jentera serangan diterajui Mousa Al-Taamari serta Ali Olwan.
Colombia bagaimanapun membuktikan keunggulan mereka apabila berjaya meraih kemenangan 2-0 dalam perlawanan pemanas badan terakhir Jordan sebelum saingan Piala Dunia bermula.
Walaupun tewas, Al-Salami melihat perlawanan itu sebagai platform terbaik untuk menilai tahap kesiapsiagaan pasukannya menjelang kejohanan terbesar dunia tersebut.
“Kami berdepan sebuah pasukan yang sangat berkualiti dan memperoleh pengalaman yang amat berharga daripada perlawanan ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Jurulatih dari Maghribi itu menjelaskan barisan kejurulatihan kini akan memberi tumpuan untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti selain memperkemaskan aspek taktikal pasukan.
Satu perkembangan positif buat Jordan ialah tiada pemain mengalami kecederaan, sekali gus memastikan kesemua pemain berada dalam keadaan cergas menjelang kempen Piala Dunia.
Jordan yang membuat penampilan bersejarah di pentas Piala Dunia diundi dalam Kumpulan J bersama pasukan gergasi iaitu Argentina, Algeria dan Austria.
Mereka akan membuka kempen menentang Austria pada 17 Jun di Stadium Santa Clara, San Francisco sebelum bertemu Algeria pada 23 Jun di venue yang sama.
Jordan kemudian akan menutup saingan peringkat kumpulan dengan cabaran getir menentang juara dunia, Argentina pada 28 Jun di Dallas. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JFA