KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memberikan penjelasan rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) berhubung isu berkaitan proses pembentangan penyata kewangan dan bajet tahunan yang dibangkitkan selepas Kongres Luar Biasa FAM 2026 baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, badan induk bola sepak negara itu memaklumkan surat rasmi bertarikh 8 Jun telah dihantar kepada PJS bagi menjelaskan secara terperinci berhubung dakwaan dan kekeliruan yang timbul berkaitan pembentangan dokumen kewangan FAM.
Isu berkenaan tercetus susulan beberapa kenyataan dan pandangan yang muncul selepas Kongres Luar Biasa Pertama FAM 2026 pada 4 Jun lalu sehingga menimbulkan persepsi bahawa badan induk itu gagal membentangkan penyata kewangan yang telah diaudit serta bajet tahunan kepada ahli gabungan mengikut peruntukan dan tatakelola yang ditetapkan.
Menurut FAM, penjelasan tersebut penting bagi memastikan segala fakta berkaitan proses pembentangan kewangan dapat difahami dengan jelas serta mengelakkan sebarang salah faham berterusan.
“Penjelasan yang dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan adalah bagi memberikan gambaran lengkap mengenai proses pembentangan kewangan yang dilaksanakan FAM serta memastikan semua fakta berkaitan difahami dengan tepat oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
FAM turut menegaskan bahawa prinsip ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan terhadap peraturan sentiasa menjadi keutamaan dalam pentadbiran organisasi berkenaan.
Sebagai badan pentadbir bola sepak kebangsaan, FAM turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan PJS dalam memastikan setiap persatuan sukan mematuhi kehendak di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia serta Akta Pembangunan Sukan 1997.
Pada masa sama, FAM memberi jaminan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan sebarang maklumat atau penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.
Perkembangan itu dilihat mampu meredakan polemik yang timbul selepas kongres berkenaan, selain memperkukuhkan keyakinan terhadap tadbir urus kewangan Persatuan Bolasepak Malaysia sebagai badan induk bola sepak negara. – DETIK MALAYSIA