Pemeriksaan kesihatan secara percuma memberi tambah nilai bagi penganjuran Dungun Sarong Fun Run 2026.
DUNGUN – Penganjuran Dungun Sarong Fun Run bukan lagi sekadar acara larian santai apabila platform komuniti itu kini turut dimanfaatkan sebagai medium mendekatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan dan agensi kerajaan kepada penduduk luar bandar.
Memasuki edisi keempat penganjurannya, program yang berlangsung di Taman Tasik Sura itu tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh menerusi penyediaan pemeriksaan kesihatan percuma, khidmat nasihat perubatan serta pelbagai perkhidmatan lain yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

Inisiatif berteraskan tanggungjawab sosial itu dilihat membantu meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan penduduk luar bandar yang sering berdepan kekangan akses maklumat dan kemudahan tertentu.
Pengarah pertandingan, Amran Abdullah berkata, penambahan elemen kesihatan dalam penganjuran tahun ini tercetus selepas pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada peserta, khususnya warga emas yang menyertai acara berkenaan sejak beberapa edisi lalu.

“Jika dahulu acara larian ini hanya sekadar untuk memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk turut sama merasai pengalaman ini tanpa perlu ke bandar-bandar besar lain, seterusnya bagi edisi kali ini kami dengan kerjasama sebuah klinik melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan lain-lain perkhidmatan khususnya penyampaian maklumat secara terus bagi setiap mereka yang hadir.
“Melihat kepada beberapa insiden kesihatan yang tidak diingini berlaku dalam beberapa penganjuran sukan kebelakangan ini, sekurang-kurangnya pemeriksaan yang dijalankan dapat membantu peserta mengetahui status kesihatan mereka lebih awal,” katanya.
Selain perkhidmatan kesihatan, beberapa agensi turut mengambil bahagian termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dungun, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta beberapa penyedia perkhidmatan lain yang membuka kaunter untuk berinteraksi secara terus dengan penduduk.
Penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan berorientasikan keluarga seperti pertandingan mewarna, pertandingan pakaian cilik berhias dan cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Seorang peserta, Zamri Ghani yang hadir dari Bukit Besi berkata, kemudahan pemeriksaan kesihatan yang disediakan memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar yang berdepan kekangan masa dan jarak untuk mendapatkan perkhidmatan sama.
“Faktor jarak dan masa sering kali menjadi halangan untuk kami membuat pemeriksaan kesihatan yang tinggal jauh dari bandar Dungun ini. Saya berharap penganjuran ini diteruskan pada tahun-tahun seterusnya, bukan hanya untuk saya malah buat mereka semua yang turut hadir dengan keluarga masing-masing,” katanya.
Dungun Sarong Fun Run 2026 yang melabuhkan tirai Sabtu lalu turut mencatat rekod penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan apabila berjaya menarik seramai 1,200 peserta bagi acara larian sejauh lima kilometer. – DETIK MALAYSIA