KUALA LUMPUR – Dua kelab Liga Super, PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dikenakan denda RM10,000 setiap satu selepas gagal mematuhi syarat ditetapkan dalam penilaian terakhir Financial Fair Play (FFP) musim 2025/26.
Keputusan itu dibuat Badan Contoh Pertama (FIB) FFP Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas kedua-dua kelab didapati masih mempunyai tunggakan gaji pekerja, tunggakan bayaran kepada agensi kerajaan serta gagal mengemukakan dokumentasi lengkap bagi penyerahan FFP in-season kelima.
Menurut laporan FIB, kedua-dua pasukan didapati melanggar Perkara 11 Peraturan FFP MFL 2025-26 dan masih berdepan cabaran kewangan sehingga April lalu.
Susulan itu, PDRM FC dan Kelantan TRW diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan bukti penyelesaian semua tunggakan atau menyerahkan pelan pembayaran yang boleh diterima FIB.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kedua-dua kelab berdepan tindakan lanjut mengikut peraturan MFL.
Dalam perkembangan sama, enam kelab berjaya memenuhi sepenuhnya semua syarat FFP tanpa sebarang tunggakan gaji atau hutang kepada agensi kerajaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, DPMM FC dan Imigresen FC.
Sementara itu, Sabah FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC didapati telah melunaskan pembayaran gaji pemain serta kakitangan, namun masih mempunyai tunggakan kepada agensi kerajaan.
Keempat-empat kelab tersebut akan menerima peringatan rasmi supaya menyelesaikan liabiliti berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada masa sama, Kuala Lumpur City FC turut diberikan perhatian khusus selepas didapati mempunyai tunggakan gaji pekerja dan bayaran kepada agensi kerajaan.
Kelab itu kini berada di bawah pemantauan lebih rapi FIB dan MFL serta diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian yang memuaskan.
MFL menjelaskan pematuhan pelesenan kelab bagi musim 2026/27 tidak semestinya menjamin pematuhan terhadap FFP kerana kedua-dua mekanisme tersebut menggunakan tempoh penilaian berbeza.
Laporan terbaharu itu membuktikan kesungguhan MFL dalam memperkukuh tadbir urus kewangan bola sepak tempatan bagi memastikan kebajikan pemain, pegawai dan semua pihak berkepentingan terus terpelihara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TRW