KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memperkukuhkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, badan kebajikan serta sektor swasta bagi memperluaskan akses pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya yang masih berada di luar sistem pendidikan formal.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu pendidikan kanak-kanak pelarian perlu dilihat sebagai tanggungjawab kemanusiaan dan pelaburan sosial yang strategik untuk jangka panjang.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh memikul tanggungjawab tersebut secara bersendirian, manakala NGO yang telah lama mengendalikan pusat pembelajaran komuniti pula memerlukan sokongan dari segi dasar, kewangan, latihan dan infrastruktur.
“Setiap kanak-kanak yang mendapat akses kepada pendidikan mempunyai peluang lebih besar untuk menjadi individu yang berdisiplin, produktif dan menghormati undang-undang.
“Sebaliknya, apabila mereka terbiar tanpa pendidikan, risiko terdedah kepada kemiskinan, eksploitasi, jenayah, pemerdagangan manusia dan pelbagai gejala sosial akan meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendidikan tidak seharusnya dianggap sebagai beban, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran sosial yang dihadapi negara.
Menurutnya, pelbagai NGO tempatan dan antarabangsa telah lama membuktikan kemampuan mereka mengendalikan pusat pembelajaran komuniti walaupun berdepan kekangan sumber.
Katanya, pusat-pusat tersebut menyediakan pendidikan akademik asas, pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pendidikan agama, program pembangunan sahsiah, kaunseling, sokongan psikososial serta latihan kemahiran.
“Pengalaman NGO di lapangan adalah aset yang sangat bernilai dan perlu dimanfaatkan menerusi satu kerangka kerjasama yang lebih sistematik,” ujarnya.
Mohd Azmi mencadangkan beberapa bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan termasuk mewujudkan mekanisme pendaftaran dan pengiktirafan pusat pembelajaran komuniti yang dikendalikan NGO bagi memastikan standard pendidikan serta kebajikan pelajar terjamin.
Selain itu, katanya, bantuan kewangan dan infrastruktur boleh disalurkan bagi menampung kos sewaan premis, bahan pembelajaran, kemudahan digital, pengangkutan pelajar serta program pemakanan kanak-kanak.
Beliau turut mencadangkan latihan khusus kepada guru dan sukarelawan dalam aspek pedagogi, pengurusan kelas serta perlindungan kanak-kanak bagi meningkatkan mutu pendidikan yang diberikan.
“Universiti dan institusi pendidikan tinggi juga boleh memainkan peranan dengan menghantar pelajar serta pensyarah sebagai mentor, tutor dan penyelidik untuk membantu komuniti pelarian.
“Bagi remaja pula, program pendidikan kemahiran boleh diperluaskan supaya mereka memiliki pengetahuan yang berguna untuk masa depan dan tidak tercicir daripada proses pembangunan insan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan dan NGO akan memberi manfaat kepada semua pihak apabila kanak-kanak memperoleh pendidikan, komuniti pelarian menjadi lebih teratur dan masyarakat setempat menikmati persekitaran sosial yang lebih stabil.
“Pendekatan ini lebih berkesan berbanding membiarkan ribuan kanak-kanak membesar tanpa pendidikan dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.
Mengulas dari perspektif Islam, beliau berkata pendidikan merupakan hak setiap insan tanpa mengira latar belakang kerana ilmu menjadi asas pembinaan tamadun dan kesejahteraan masyarakat.
“Dalam konteks ini, membantu pendidikan kanak-kanak Rohingya bukan soal politik atau status kewarganegaraan semata-mata, tetapi soal mempertahankan maruah insan dan masa depan generasi yang tidak bersalah.
“Kegagalan menyediakan akses pendidikan hanya akan melahirkan generasi yang terpinggir dan terdedah kepada pelbagai risiko sosial, sedangkan pendidikan adalah jambatan harapan yang perlu dibuka, bukannya ditutup,” katanya. – DETIK MALAYSIA