EAST RUTHERFORD – Kapten Perancis, Kylian Mbappé mencipta sejarah tersendiri apabila meledak dua gol untuk membantu Les Bleus menewaskan Senegal 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife awal pagi tadi.
Perancis bermula dengan kemenangan, namun skuad kendalian Didier Deschamps itu tidak memperoleh laluan mudah apabila Senegal memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.
Juara Afrika itu hampir mengejutkan Perancis menerusi Nicolas Jackson pada minit ke-25, namun percubaannya hanya singgah di tiang gol. Ismaïla Sarr turut menjadi ancaman berterusan kepada benteng Les Bleus.
Walaupun menguasai lebih banyak penguasaan bola, Perancis bergelut menembusi pertahanan tersusun Senegal sebelum rehat.
Selepas babak kedua bermula, perubahan taktikal Deschamps yang membenarkan Ousmane Dembélé dan Michael Olise lebih bebas bertukar posisi berjaya mengubah rentak permainan Perancis.
Kebuntuan akhirnya dipecahkan Mbappé pada minit ke-65 apabila menyempurnakan hantaran tepat Olise sebelum merembat masuk menewaskan penjaga gol Senegal.
Gol tersebut menyuntik keyakinan Perancis yang kemudian menggandakan kelebihan menerusi Bradley Barcola pada minit ke-82 hasil gerakan serangan kemas.
Ketika Senegal semakin tertekan untuk memburu gol, Mbappé memastikan kemenangan mutlak Perancis apabila meledak rembatan jarak jauh pada masa kecederaan bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Jaringan kedua itu turut mengukir sejarah buat penyerang berusia 27 tahun tersebut apabila beliau muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dengan 58 gol antarabangsa, sekali gus mengatasi rekod legenda negara itu, Olivier Giroud.
Mbappé turut memecahkan rekod jaringan terbanyak pemain Perancis di pentas Piala Dunia yang sebelum ini dipegang oleh Just Fontaine.
Senegal sekadar memperoleh gol sagu hati pada penghujung perlawanan menerusi Ibrahim Mbaye selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Kemenangan itu meletakkan Perancis di tangga teratas Kumpulan I dan berada di landasan terbaik untuk melangkah ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FFF