ARLINGTON, Texas – Penyerang England, Harry Kane muncul wira apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Croatia 4-2 pada aksi pertama Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Stadium AT&T awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan The Three Lions meraih tiga mata pertama sekali gus mendahului carta sementara kumpulan.
England membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi sepakan penalti Kane selepas pengadil mengarahkan sepakan diulang berikutan penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic didapati bergerak lebih awal dari garisan gawang.
Croatia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Martin Baturina pada minit ke-36, namun Kane sekali lagi meletakkan England di depan enam minit kemudian.
Pasukan Balkan itu enggan mengalah apabila Petar Musa menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama untuk memastikan kedudukan terikat 2-2 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, England hanya memerlukan dua minit untuk kembali mendahului hasil jaringan Jude Bellingham pada minit ke-47.
Marcus Rashford kemudian melengkapkan kemenangan England apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-85 untuk memastikan keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
England kini mengungguli Kumpulan L dengan tiga mata, manakala Croatia masih belum mengutip sebarang mata selepas aksi pembukaan mereka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo