Jais Abdul Karim
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik cadangan pelaksanaan projek rintis penubuhan Kadet Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekolah secara berperingkat bagi melahirkan generasi muda yang berintegriti dan membenci rasuah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, usaha menyemai budaya antirasuah perlu dimulakan sejak usia muda kerana pendidikan merupakan benteng paling berkesan dalam membentuk masyarakat berintegriti.
“Rasuah bukan sekadar isu penguatkuasaan, malah cabaran nilai dan budaya yang perlu ditangani melalui pendidikan berterusan.
“Penubuhan Kadet SPRM berpotensi menjadi platform penting untuk melahirkan generasi muda yang memahami nilai amanah, integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, program itu juga mampu memupuk keberanian dalam kalangan pelajar untuk menolak rasuah serta meningkatkan kesedaran bahawa gejala tersebut merupakan musuh utama pembangunan negara.
Jais berkata, MCW menghargai pendekatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman yang memilih untuk melaksanakan projek itu secara kecil-kecilan dan berperingkat bagi menilai keberkesanan modul, silibus serta kaedah pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Katanya, MCW berharap pelaksanaan Kadet SPRM melibatkan kerjasama erat antara SPRM, Kementerian Pendidikan Malaysia, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat supaya ia menjadi gerakan nasional membudayakan integriti.
“MCW bersedia bekerjasama dengan SPRM dalam aspek pendidikan, latihan kepimpinan, dialog integriti serta pembangunan modul kesedaran antirasuah untuk golongan muda.
“Kita percaya membentuk seorang pelajar yang membenci rasuah hari ini jauh lebih berkesan dan murah berbanding menyiasat seorang penjawat awam atau pemimpin yang terlibat dengan rasuah pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, masa depan Malaysia yang bebas rasuah bergantung kepada kejayaan membentuk generasi muda yang menjadikan integriti sebagai cara hidup. – DETIK MALAYSIA