KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf kepada penonton susulan gangguan teknikal yang berlaku ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Senegal menerusi platform RTMKlik awal pagi tadi.
Menurut RTM, gangguan yang berlaku sekitar pukul 3 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal luar jangka sehingga menyebabkan sebahagian pengguna menghadapi kesukaran mengakses siaran secara lancar.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, pihak teknikal RTM bersama penyedia teknologi telah mengambil tindakan segera bagi memulihkan perkhidmatan.
“RTM amat memahami kekecewaan para peminat bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut dan menghargai kesabaran serta sokongan yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku,” katanya.
RTM turut menegaskan komitmen untuk memastikan pengalaman tontonan terbaik kepada rakyat Malaysia serta memperkukuhkan infrastruktur dan sistem penyiaran digital bagi mengelakkan gangguan sama berulang.
Menurut kenyataan itu, RTM akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 yang disiarkan menerusi platform berkenaan. – DETIK MALAYSIA