KANSAS CITY – Juara bertahan, Lionel Messi membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak hatrik untuk membantu Argentina memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Algeria awal pagi tadi.
Pada aksi Kumpulan J di Stadium Arrowhead, Kansas City, Messi yang mencipta sejarah beraksi dalam Piala Dunia keenamnya tampil sebagai watak utama apabila menjaringkan ketiga-tiga gol kemenangan La Albiceleste.
Argentina menguasai permainan sejak wisel permulaan dengan gerakan kemas dan penguasaan bola yang menyukarkan Algeria mencari rentak.
Gol pertama hadir pada minit ke-17 apabila Messi melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti. Penjaga gol Algeria, Luca Zidane sempat menepis bola namun gagal menghalangnya daripada menerjah jaring.
Jaringan tersebut menyuntik keyakinan buat skuad kendalian Lionel Scaloni yang terus mengawal tempo permainan sambil mengekang segala usaha serangan lawan.
Selepas membawa kelebihan satu gol ke bilik persalinan, Argentina menggandakan asakan pada babak kedua.
Messi sekali lagi mencuri tumpuan apabila menambah dua lagi gol untuk melengkapkan hatrik, sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukannya dalam perlawanan pembukaan.
Pemain berusia 39 tahun itu mempamerkan kualiti luar biasa menerusi pergerakan pintar, visi permainan serta penyudah klinikal yang gagal dikekang benteng pertahanan Algeria.
Kemenangan itu meletakkan Argentina dalam kelompok pendahulu awal Kumpulan J dan mengukuhkan status mereka sebagai antara calon utama untuk mempertahankan gelaran dunia.
Argentina dijadualkan menentang Austria pada 23 Jun ini, manakala Algeria perlu bangkit apabila berdepan Jordan dalam aksi yang dianggap penting untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFA