MIAMI – Harapan Afrika Selatan untuk mara jauh dalam kempen Piala Dunia 2026 menerima tamparan hebat selepas pemain tengah berpengaruh, Themba Zwane digantung tiga perlawanan oleh FIFA.
Pemain berusia 36 tahun itu dilayangkan kad merah ketika Afrika Selatan tewas 0-2 kepada Mexico dalam aksi pembukaan Kumpulan A selepas didakwa menyiku kepala lawan.
Walaupun Zwane membantah keputusan tersebut dan menegaskan dirinya tidak bersalah, Jawatankuasa Tatatertib FIFA tetap mengekalkan hukuman berkenaan.
Menerusi kenyataan rasmi, FIFA mengesahkan Zwane dikenakan penggantungan tiga perlawanan atas pelanggaran Artikel 14 perenggan 1(e) Kod Tatatertib FIFA, namun keputusan itu masih boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Penggantungan itu menyaksikan Zwane terlepas baki saingan peringkat kumpulan menentang Czech Republic dan South Korea, selain berpotensi terlepas aksi pusingan 32 terbaik sekiranya Afrika Selatan layak.
Ketiadaan tonggak berpengalaman itu dijangka memberi ruang lebih besar kepada pemain muda sensasi, Relebohile Mofokeng untuk mengemudi jentera serangan pasukan.
Situasi itu menambahkan lagi kekecewaan skuad kendalian Hugo Broos selepas turut kehilangan pemain pertahanan, Yaya Sithole yang dibuang padang dalam perlawanan sama.
Afrika Selatan kini tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan apabila berdepan Republik Czech sebelum menutup kempen kumpulan menentang Korea Selatan pada 24 Jun ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFP