KUALA LUMPUR – Bintang muda Muay Thai negara, Johan Ghazali sah menerima cabaran rakan baiknya, Ramadan Ondash sekali gus menjanjikan pertarungan sengit pada acara The Inner Circle 24 hujung bulan depan.
Dua petarung berusia 19 tahun itu bakal berentap dalam kategori flyweight Muay Thai di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok pada 31 Julai depan.
Pertembungan yang dinanti-nantikan peminat itu menjadi kenyataan selepas Ondash mencabar Johan sejurus mencatat kemenangan dalam aksi terbaharunya, sebelum disambut positif oleh wakil Malaysia-Amerika Syarikat tersebut menerusi media sosial ONE Championship.
Walaupun hubungan mereka cukup akrab di luar gelanggang, kedua-dua petarung dijangka mengetepikan persahabatan demi memburu kemenangan yang mampu mengubah haluan karier masing-masing.
Bagi Johan, pertarungan itu hadir tepat pada masanya selepas mengalami kekalahan pertama dalam karier ONE Championship apabila tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada Shimon pada ONE Samurai 1, April lalu.
Kemenangan ke atas Ondash dilihat mampu mengembalikan momentumnya untuk kembali mencabar kelompok elit divisyen flyweight.
Sementara itu, Ondash turut memiliki rekod cemerlang selepas meraih empat kemenangan berturut-turut sebelum memperoleh kontrak ONE Championship.
Petarung dari Lubnan itu pernah beraksi dalam perebutan status pencabar kejuaraan dunia menentang Aliff Sor Dechapan pada penghujung tahun lalu, namun tewas menerusi keputusan sebulat suara.
Selepas beralih ke divisyen flyweight, Ondash terus mencuri perhatian apabila menewaskan Suriyanlek Por Yenying pada The Inner Circle 16, Mei lalu.
Dengan kedua-dua petarung terkenal dengan gaya agresif dan serangan tanpa henti, pertarungan tersebut dijangka menjadi antara aksi paling menarik tahun ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE