PETALING JAYA – Hanya beberapa hari selepas berpisah secara persetujuan bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter Cklamovski kembali ke arena bola sepak kelab apabila diumumkan sebagai Pengurus Pasukan Utama lelaki Salford City.
Kelab yang beraksi dalam Liga Dua England itu mengesahkan pelantikan jurulatih Australia berusia 47 tahun tersebut bagi menerajui fasa baharu pembangunan pasukan selepas melalui proses pemilihan yang menyeluruh.
Pelantikan itu hadir sejurus selepas FAM mengumumkan Cklamovski dan barisan kejurulatihannya meninggalkan skuad Harimau Malaya sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula program bola sepak kebangsaan.
Sepanjang mengendalikan Malaysia, Cklamovski berjaya membantu Harimau Malaya mencatat peningkatan ranking FIFA terbaik dalam tempoh lebih dua dekad selain memperkenalkan corak permainan berintensiti tinggi dan berasaskan penguasaan bola.
Cklamovski berkata, beliau teruja untuk memulakan cabaran baharu bersama Salford City.
“Saya berada di sini dengan peluang besar untuk melakukan sesuatu yang istimewa. Pemilik kelab mempunyai cita-cita tinggi dan aspirasi besar yang selari dengan diri saya,” katanya.
Beliau turut menegaskan hasrat untuk membentuk pasukan yang agresif serta menghiburkan penyokong.
“Kami mahu berjuang dengan semangat, komitmen dan disiplin. Pada masa sama, kami mahu berani menguasai bola, menyerang ke hadapan, menjaringkan gol dan menghiburkan penyokong,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Salford City, Gavin Fleig menyifatkan Cklamovski sebagai calon terbaik sepanjang proses pencarian pengurus baharu.
“Kami gembira mengalu-alukan Peter ke Salford City. Beliau memiliki pengalaman di peringkat elit serta falsafah permainan yang proaktif, berintensiti tinggi dan penuh perhatian terhadap perincian,” katanya.
Penasihat bola sepak kelab, Paul Scholes pula percaya gaya permainan Cklamovski seiring dengan visi kelab.
“Peter membawa corak permainan yang menarik dan menyerang, namun pada masa sama amat menitikberatkan disiplin bertahan. Itulah identiti yang kami mahu bina di Salford,” katanya.
Cklamovski memiliki pengalaman luas dalam bola sepak antarabangsa dan kelab, termasuk membantu jurulatih terkenal Ange Postecoglou menjulang Piala Asia 2015 bersama Australia serta memenangi gelaran J1 League bersama Yokohama F. Marinos.
Beliau juga pernah mengendalikan beberapa kelab Jepun termasuk Montedio Yamagata, Shimizu S-Pulse dan FC Tokyo sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2025. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Salford City