ATLANTA – Czechia terlepas peluang meraih kemenangan pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2026 selepas diikat Afrika Selatan 1-1 menerusi jaringan penalti lewat permainan di Stadium Mercedes-Benz awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Miroslav Koubek bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit keenam hasil penyudah kemas Michal Sadílek.
Gol itu tercipta menerusi gerakan menarik di sebelah kanan sebelum Adam Hložek menghantar bola kepada Ladislav Krejčí yang kemudiannya melorongkan bola buat Sadílek untuk menewaskan penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams.
Czechia hampir menambah jaringan pada babak kedua menerusi Vladimír Darida dan Lukáš Červ, namun Williams bertindak cemerlang menyelamatkan gawang pasukannya.
Afrika Selatan yang dibimbing Hugo Broos pula lebih banyak menguasai permainan, namun gagal mencipta peluang berbahaya berdepan pertahanan kental lawan.
Peluang terbaik Bafana Bafana hadir sebelum rehat, tetapi percubaan Maseko berjaya disekat Krejčí ketika penjaga gol Matěj Kovář gagal menangkap kemas hantaran lintang.
Ketika Czechia dilihat semakin hampir untuk membawa pulang tiga mata, aksi berubah pada penghujung perlawanan apabila percubaan jarak jauh Maseko terkena tangan pemain gantian, Pavel Šulc di dalam kotak penalti.
Pengadil tanpa teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada Afrika Selatan.
Teboho Mokoena yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang apabila mudah memperdayakan Kovář untuk menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dan terus menghidupkan peluang untuk memburu slot ke pusingan kalah mati.
Czechia pastinya kecewa kerana gagal mempertahankan kelebihan yang dimiliki, manakala Afrika Selatan boleh berbangga dengan semangat juang tinggi untuk bangkit mencuri satu mata berharga. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SAFA