INGLEWOOD – Dua pemain gantian muncul wira apabila membantu Switzerland mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Bosnia dan Herzegovina pada aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium SoFi awal pagi tadi.
Johan Manzambi dan Ruben Vargas menjadi pencetus kebangkitan Switzerland pada babak kedua selepas skuad kendalian Murat Yakin buntu menembusi benteng pertahanan Bosnia sepanjang lebih satu jam permainan.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-74 apabila Manzambi meledak gol pembukaan hanya tiga minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Switzerland terus menggandakan kelebihan menerusi Vargas pada minit ke-84 hasil gerakan cantik melibatkan Manzambi dan Breel Embolo.
Manzambi sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-90 untuk meletakkan Switzerland selesa mendahului 3-0.
Bosnia dan Herzegovina sempat merapatkan kedudukan menerusi jaringan voli Ermin Mahmic pada masa kecederaan, namun harapan untuk bangkit tidak kesampaian.
Kapten Switzerland, Granit Xhaka kemudian melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-90+7.
Kemenangan itu menyaksikan Switzerland mengungguli carta Kumpulan B dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri.
Bosnia pula terus bergelut selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan setakat ini.
Pada aksi terakhir kumpulan nanti, Switzerland akan berdepan Kanada, manakala Bosnia dan Herzegovina dijadual bertemu Qatar dalam misi wajib menang untuk menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo