SHAH ALAM – Kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa Israel tidak akan wujud tanpa sokongan Amerika Syarikat disifatkan sebagai pengakuan jelas mengenai besarnya bantuan politik, ketenteraan, ekonomi dan diplomatik Washington kepada negara itu sejak sekian lama.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan terkini bagaimanapun menunjukkan satu realiti berbeza apabila Israel dilihat terus bertindak mengikut kepentingan strategik dan agenda ideologinya sendiri.
Menurut beliau, tindakan Israel yang berterusan melancarkan serangan ke atas Lebanon membuktikan kepimpinan negara itu sering membuat keputusan berdasarkan pertimbangannya sendiri meskipun berdepan tekanan atau nasihat daripada sekutu utamanya, Amerika Syarikat.
āPerkembangan ini menimbulkan persoalan yang semakin ketara mengenai siapakah sebenarnya yang mempengaruhi siapa dalam hubungan antara kedua-dua negara.
āAdakah Amerika Syarikat mengawal Israel atau Israel telah membina pengaruh yang cukup kuat sehingga mampu mempengaruhi dasar dan keputusan Washington sendiri,ā katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah rakyat awam di rantau berkenaan terus menjadi mangsa konflik yang berpanjangan.
Katanya, serangan berterusan ke atas Lebanon, selain di Gaza dan wilayah Palestin lain, hanya menambah penderitaan penduduk, memusnahkan infrastruktur serta mengancam kestabilan serantau.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa melihat isu tersebut dengan lebih jujur dan berani.
āSelagi Israel terus diberikan perlindungan politik dan ketenteraan tanpa akauntabiliti yang sewajarnya, tindakan agresif akan berterusan dan usaha mencapai keamanan yang adil akan terus berdepan halangan.
āKenyataan Trump bahawa Israel tidak dapat bertahan tanpa Amerika Syarikat mungkin benar dari sudut sejarah dan sokongan material, namun tindakan Israel yang berulang kali mengabaikan tekanan antarabangsa menunjukkan hubungan kuasa antara kedua-dua pihak jauh lebih kompleks daripada yang sering digambarkan,ā katanya. – DETIK MALAYSIA