SEATTLE – Brazil mempamerkan aksi meyakinkan untuk meraih kemenangan pertama pada kempen Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Haiti 3-0 dalam saingan Kumpulan C di Stadium Lincoln Financial Field, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu mendominasi permainan sejak wisel permulaan dengan Matheus Cunha muncul wira apabila meledak dua gol, manakala Vinicius Junior melengkapkan persembahan cemerlang menerusi satu jaringan dan dua bantuan gol.
Kemenangan tersebut membolehkan Brazil merampas kedudukan teratas Kumpulan C menerusi kelebihan perbezaan jaringan mengatasi Morocco, dengan kedua-dua pasukan mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.
Brazil membuka tirai jaringan pada minit ke-23 apabila percubaan Vinicius gagal ditangkap kemas penjaga gol Haiti, Johny Placide, sebelum Cunha pantas menyambar bola muntah untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Cunha kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-36 hasil gerakan menarik yang dimulakan Lucas Paqueta sebelum Vinicius melakukan hantaran tepat ke dalam kotak penalti untuk disudahkan penyerang itu.
Vinicius akhirnya memperoleh ganjaran setimpal menjelang tamat babak pertama apabila menyempurnakan hantaran Paqueta dengan tenang untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Jaringan tersebut menyaksikan bintang Real Madrid itu terlibat secara langsung dalam ketiga-tiga gol Brazil pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Brazil mengurangkan rentak permainan namun masih menguasai perlawanan.
Malah, mereka hampir menambah jaringan menerusi Gabriel Martinelli yang terkena palang gol selepas menerima hantaran tumit menarik daripada Vinicius.
Haiti cuba bangkit dengan beberapa serangan berbahaya, namun penjaga gol Brazil, Alisson Becker, bertindak cemerlang untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Keputusan itu meletakkan Brazil di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Scotland, manakala Haiti wajib mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir jika mahu terus menghidupkan peluang mereka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – CBF
