SAN FRANCISCO – Paraguay menghidupkan kembali kempen Piala Dunia 2026 apabila mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Turkiye dalam aksi Kumpulan D, sekali gus meraih tiga mata pertama kejohanan.
Jaringan awal Matias Galarza seawal minit kedua perlawanan sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat skuad kendalian Gustavo Alfaro meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir separuh perlawanan.
Paraguay memulakan aksi dengan sempurna apabila Galarza meledak gol hanya 65 saat selepas sepak mula menerusi rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan penjaga gol Turkiye.
Gol pantas itu memberi kelebihan awal kepada La Albirroja dan memaksa Turkiye menggandakan usaha memburu gol penyamaan.
Perlawanan selepas itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Paraguay lebih banyak bergantung kepada disiplin bertahan dan serangan balas pantas.
Situasi menjadi lebih sukar buat Paraguay apabila kapten pasukan, Miguel Almiron, dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama, sekali gus memaksa mereka beraksi dengan kekurangan seorang pemain.
Bagaimanapun, Paraguay mempamerkan semangat juang tinggi pada separuh masa kedua apabila berjaya menyerap segala tekanan yang diberikan Turkiye.
Turkiye menguasai sebahagian besar permainan dan melancarkan beberapa percubaan berbahaya, namun benteng pertahanan Paraguay kekal ampuh untuk mempertahankan kelebihan tipis tersebut sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu menyuntik semula keyakinan Paraguay dalam usaha memburu slot ke pusingan kalah mati menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan.
Paraguay dijadual berdepan Australia pada 25 Jun ini dalam perlawanan penentuan Kumpulan D, dengan satu lagi keputusan positif mampu membawa mereka ke pusingan 32 terbaik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – APF