CAPE TOWN – Skuad hoki lelaki negara menamatkan kempen Piala Negara-Negara Hoki Lelaki FIH 2025-26 dengan nota positif apabila menewaskan Scotland 4-2 dalam aksi penentuan tempat kelima semalam.
Walaupun gagal melangkah ke separuh akhir, Speedy Tigers tetap mempamerkan semangat juang tinggi untuk menundukkan Scotland sekali gus menamatkan kejohanan di kedudukan kelima.
Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan penalti yang disempurnakan penyerang berpengalaman, Faizal Saari pada minit kelapan.
Kelebihan itu digandakan pada minit ke-19 hasil jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 2-0.
Bagaimanapun, Scotland bangkit selepas rehat apabila Jamie Golden merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum David Nairn menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan padang pada minit ke-44.
Tidak tertekan dengan kebangkitan lawan, Malaysia kembali di hadapan seminit kemudian apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook tenang menyudahkan peluang untuk meledak gol ketiga negara.
Azrai kemudian melengkapkan aksi cemerlang peribadinya apabila menjaringkan gol kedua menerusi pukulan penalti pada minit ke-50 bagi memastikan kemenangan 4-2 memihak kepada Speedy Tigers.
Keputusan tersebut menyaksikan anak buah Brendon Carolan menutup kempen dengan dua kemenangan berturut-turut dalam aksi penentuan kedudukan selepas terlepas peluang memburu gelaran kejohanan.
Walaupun sasaran untuk mencabar kejuaraan tidak kesampaian, pencapaian tempat kelima tetap memberi beberapa petanda positif terutama daripada gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu yang semakin menyerlah.
Prestasi pemain muda seperti Azrai dan Akhimullah, selain sentuhan konsisten Faizal, memberi keyakinan buat skuad negara menjelang tugasan antarabangsa seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIH