BRNO – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila meraih petak kedua bagi perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Czech di Litar Automotodrom Brno, sekali gus mengesahkan tempat di barisan hadapan perlumbaan esok.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu hanya dipisahkan 0.017 saat daripada kedudukan pole selepas mencatat masa 2 minit 04.086 saat dalam sesi kelayakan Q2, sekali gus menghadiahkan permulaan barisan hadapan ketiganya musim ini.
Pencapaian tersebut hadir selepas aksi cemerlangnya pada Jumaat apabila muncul pelumba terpantas sesi latihan dan memecahkan rekod pusingan Moto3 Brno sebanyak dua kali.
Hakim meneruskan rentak positif itu dalam sesi Latihan Bebas 2 (FP2) pagi tadi apabila menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan masa terbaik 2:05.354s.
Memasuki sesi Q2, pelumba berusia 18 tahun itu terus berada dalam kelompok teratas sejak awal dan sempat menghuni kedudukan barisan hadapan menerusi percubaan pertamanya.
Pada pusingan terakhir, Hakim dilihat berpeluang besar merampas pole selepas mencatat masa kompetitif dalam sektor pertama dan ketiga. Namun, sedikit kesilapan di sektor terakhir menyebabkan hasrat tersebut tidak kesampaian.
Pelumba Sepanyol, David Almansa daripada pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP akhirnya meraih pole position dengan catatan 2:04.069s, hanya 0.017s lebih pantas berbanding Hakim.
Keputusan itu mengukuhkan lagi kempen memberangsangkan Hakim dalam musim Moto3 2026 apabila terus menunjukkan keupayaan untuk bersaing dengan kelompok terbaik dunia.
Berdasarkan prestasi sepanjang hujung minggu di Brno, termasuk memecahkan rekod litar dan berada dalam kelompok teratas setiap sesi, Hakim dilihat mempunyai peluang cerah untuk mencabar kedudukan podium, malah memburu kemenangan sulungnya dalam Moto3.
Perlumbaan GP Czech dijadual berlangsung esok dengan tumpuan pastinya terarah kepada Hakim yang kini membawa harapan besar Malaysia di pentas Moto3 dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing